WESTWOOD ceria pada aksi pusingan kedua, semalam.
WESTWOOD ceria pada aksi pusingan kedua, semalam.
Oleh Esme Johari Wahab

Kuala Lumpur: Waspada Westwood! Begitulah amaran dilaungkan pemain Sepanyol, Alejandro Canizares selepas mengikat juara bertahan Lee Westwood untuk muncul pendahulu bersama hari kedua Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2015, semalam.

Pemain Sepanyol dan England itu mencatat 11 bawah par 133 dalam saingan berlangsung di Kelab Golf and Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara.

Dua pemain terbabit mencatat kelebihan tiga pukulan untuk memintas pendahulu sesi pagi, Bernd Wiesberger dari Austria yang mencatat lapan bawah par 136.

Pemain England, Paul Waring dan Peter Lawrie dari Ireland berkongsi tempat keempat dengan masing-masing mengumpul tujuh bawah par 137.

Westwood mencatat dua birdie di sembilan lubang pertama diikuti empat lagi pada sembilan lubang terakhir untuk mencatat lima bawah par pada hari kedua.

Canizares, ranking ke-139 dunia, melonjak lima kedudukan apabila merakam tujuh birdie untuk mengumpul 65 pukulan berbanding 68 kelmarin.

“Permainan hari ini menyeronokkan. Saya bermain dengan baik! Meskipun tidak melakukan tee dengan baik, tapi pukulan putt saya begitu baik.

“Saya mula berasa yakin selepas pukulan putt menjadi pada sembilan lubang pertama. Saya dapat mengagak lubang dan hala tuju bola dengan baik yang akhirnya menghasilkan catatan bagus.

“Cuaca hari ini (semalam) banyak membantu disebabkan suhu lebih rendah dan fokus juga tidak terganggu walaupun cuaca agak panas,” katanya.

Canizares turut menyifatkan berada dalam satu flight bersama pemain negara, Danny Chia menyeronokkan.

“Dia seorang yang baik dan saya seronok melihatnya mendapat sokongan padu penonton tempatan. Saya turut teruja kerana secara tidak langsung saya juga mendapat perhatian,” katanya yang mahu mengekalkan rentak pada saingan hari ini dan final esok.

Wiesberger pemenang dua kejohanan Jelajah Eropah berkata: “Permainan hari ini (semalam) sangat baik. Saya boleh mengatakan permainan saya tidak bagus sebelum ini. Mental agak letih dan tidak berada dalam zon terbaik seperti biasa.

“Apapun, saya merasakan jika seseorang bermain dengan baik, momentum itu dapat diteruskan tidak kira di mana anda bersaing.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 6:27 AM