Sebelum ini pelakon jelita, Fathia pernah memberi kenyataan bahawa hubungan cintanya dengan aktor, Aiman Hakim selalu bergolak. Namun apabila ditanya, dia selalunya enggan komen panjang kerana tidak mahu mencampur-adukkan hal peribadi dan kerjaya.

Terbaru, Cik Pang dengar hubungan cinta Fathia dan Aiman ibarat telur di hujung tanduk.

Lalu kecoh dalam kalangan teman bercerita, sebenarnya kisah cinta antara Fathia dan Aiman sudah berakhir dan disebabkan itu aktres yang popular menerusi drama rantaian Ariana Rose itu enggan memberi komen mengenai perkara berkenaan.

Cik Pang cuba risik dengan kenalan rapat pasangan ini bagi mendapatkan pengesahan sejauh mana kebenaran cerita itu. Rupa-rupanya cerita putus cinta yang heboh diperkatakan itu timbul akibat salah faham.

Biasalah orang bercinta pasti ada pasang surutnya. Kebetulan baru-baru ini perselisihan faham terjadi antara pasangan ini dan mereka bergaduh besar.

Selepas bergaduh, mereka terus membawa haluan masing-masing dan tidak berhubung antara satu sama lain. Adat orang bercinta, apabila timbul masalah, kita akan meluahkan perasaan dengan orang yang rapat.

Tidak sangka pula orang sekeliling beranggapan mereka sudah memutuskan hubungan.

Cuma bagusnya apabila kecoh orang bercakap mereka putus cinta, Aiman bertemu Fathia dan mempersoalkan bila masa pula dia mahu memutuskan hubungan mereka.

Aiman bertindak budiman dengan memujuk kembali Fathia dan menegaskan dia masih menyayangi pelakon itu. Selepas berjaya menyelesaikan masalah, pasangan ini dikatakan kembali berbaik.

Baguslah jika itu yang berlaku. Cuma bagi Cik Pang, jika banyak sangat cabaran terpaksa ditempuh dan tidak mahu cinta terputus di tengah jalan, apa kata Aiman pinang Fathia cepat-cepat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:01 AM