Fathia Latif
Fathia Latif

Kebelakangan ini pasangan popular, Aiman Hakim Ridza dan Fathia Latif dilihat agak selesa apabila ditanya hubungan cinta mereka, berbeza sebelum ini seperti enggan berbicara secara terbuka mengenainya.

Lebih mengejutkan apabila baru-baru ini Aiman mengatakan mahu menikahi Fathia dan perkara itu membuatkan semua rakan media terkejut apabila ia datang dari mulutnya sendiri.

Cik Pang masih ingat Aiman sebenarnya paling tidak gemar berbicara mengenai hal peribadi terutama soal cintanya dengan Fathia, tetapi kalau dia sudah bercakap mengenainya bermakna bekas peserta rancangan realiti Mentor itu tidak main-main.

Apabila perkara itu dinyatakan Aiman, rakan-rakan media lain pun mulalah berteka-teki dan membuat telahan bilakah majlis pernikahan Aiman dan Fathia akan berlangsung.

Walaupun Aiman ada memberi kenyataan mahu menikahi Fathia, nampaknya dia masih berteka-teki mengenainya dan tidak mahu mengulas lebih terperinci.

Cerita teman Cik Pang, baru-baru ini dia bertemu Fathia dan sempat bertanyakan kesahihan akan kenyataan Aiman. Kalau benar mahu bernikah, bila majlis dirancang bakal dilangsungkan.

Tapi Fathia sendiri akui terkejut apabila membaca artikel disiarkan mengenai kenyataan Aiman lalu mendapatkan pengesahan daripada buah hatinya itu.

Kata Fathia, Aiman menjelaskan memang dia ada bagi kenyataan apabila ada wartawan tanya ke mana hala tuju hubungan cinta mereka. Jawapan diberikan sudah tentu dia serius dan mahu menikahi pelakon jelita itu.

Bagaimanapun, terang Fathia ia hanyalah perancangan dan belum ada lagi sebarang perbinca­ngan dibuat. Kalau benar pun mereka mahu bernikah, bukanlah waktu terdekat kerana masing-masing sibuk dengan jadual kerja. Kemungkinan beberapa tahun lagi.

Kalau begitu penjelasannya, tidak mengapalah. Cik Pang doakan perkara baik-baik untuk Aiman dan Fathia. Kalau benarlah mereka mahu bernikah, nampaknya pihak media akan menantikan satu lagi 'wedding of the year'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:07 AM