ELLY dan Zul 2 By 2 menang Super Karoks Kool FM.
ELLY dan Zul 2 By 2 menang Super Karoks Kool FM.

Jumaat lalu diumumkan pula keputusan Super Karoks Kool FM musim kedua menyaksikan Elly Mazlein dan Zul 2 By 2 dari kumpulan Apoo menjuarai pertandingan itu dengan mendapat undi majoriti 76 peratus.

Mereka meninggalkan yang lain jauh di belakang apabila kumpulan Wow (Dia Fadila dan Haida) hanya mendapat 10 peratus undian dan bakinya 14 peratus lagi dikongsi kumpulan Bedeboom (Adibah Noor dan Vince), Gitewlaa (Syura dan Bob Yusof) serta RGVictory (Rem dan Gmie).

Kumpulan Apoo juga menang dua kali juara ming­guan manakala Gitewlaa sekali. Minggu akhir juga mencatat sejarah apabila undian terkumpul mereka mencecah 5 juta sejak dibuka selama empat hari bermula Isnin.

Ini kali kedua pertandingan seumpamanya dianjurkan stesen radio Kool FM dan tahun lalu menyaksikan gandingan Intan Sarafina dan Elyana menjadi juara.

Nampaknya mereka yang bertanding juga pernah menyertai program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) seperti Elly, Rem dan Gmie. Tahun lalu juga begitu seperti Intan Sarafina dan Ayie. Sebabnya, mereka mempunyai peminat.

Selepas lama menyepi dalam nyanyian dan lebih dikenali sebagai pelakon, rezeki Elly mencurah-curah dengan pelbagai tawaran selepas GV3.

Untuk juara mingguan, mereka menerima RM5,000 dan kali ini untuk juara membawa pulang RM30,000. Lagu Putus Terpaksa nyanyian asal Ziana Zain membawa rezeki buat mereka.

Kalau dari segi penilaian juri, hakikatnya mereka memilih Adibah dan Vince menyanyikan lagu Beauty And The Beast kerana kemantapan vokal tetapi keputusannya di tangan peminat.

Mungkin ramai tidak tahu pengaruh besar Zul 2 By 2 yang pernah popular dengan lagu Mawarku bersama Datuk Siti Nurhaliza.

Difahamkan, Zul atau Zulkefli Majid, 35, mempu­nyai ramai peminat di negara jiran Indonesia ditambah pula selepas menjadi juri pertandingan Dangdut Academy Asia bersama Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah tahun lalu.

Tidak hairan kumpulannya mengumpul 5 juta undian. Mungkin populariti mereka tidak dilihat di negara sendiri tetapi hakikatnya, ramai juga yang berjaya mencuri hati peminat luar. Itulah kuasa media sosial sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 8:20 AM