KUMPULAN Wow bangkit juara minggu separuh akhir selepas dapat kritikan minggu lalu.
KUMPULAN Wow bangkit juara minggu separuh akhir selepas dapat kritikan minggu lalu.
Michelle Gun


Kumpulan duo Wow diang­gotai penyanyi Dia Fadila dan Haida berjaya merangkul juara bagi minggu separuh akhir pertandingan nyanyian Super Karoks Kool FM.

Pasangan ini memperoleh jumlah undian tertinggi, 44 peratus menerusi lagu pilihan Lelaki Teragung, sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000.

Sementara kumpulan Apooo mendapat undian 38 peratus diikuti Gitewlaa 13 peratus, RG Victory pula menerima 3 peratus dan terakhir adalah Bedeboom dengan hanya 2 peratus.

Pada minggu lalu, duo ini menerima kritikan juri iaitu komposer Ajai yang berpendapat Dia menyanyi seperti lagu sendiri manakala Haida mempunyai masalah ‘pitching’.

Ketika diumumkan juara minggu keempat, Dia mengucapkan terima kasih kepada peminat atas sokongan mereka.

“Kami menghargai usaha peminat yang mengundi kami sehingga bergelar juara minggu ini. Diharapkan peminat terus menyokong kami pada pusingan terakhir,” katanya.

Bagi persembahan finale, peserta akan menyanyi lagu pilihan pihak pengurusan Kool FM dan juara keseluruhan akan membawa pulang wang tunai RM30,000.

Istimewanya, peserta akan tampil memakai kostum menarik sambil menyampaikan persembahan bagi menambat hati penonton serta juri.

Duo Bedeboom memilih lagu duet Inggeris nyanyian Celine Dion dan Peabo Bryson, Beauty and The Beast manakala Apooo akan mendendangkan lagu Putus Terpaksa.

Kumpulan Gitewlaa pula akan mempersembahkan lagu Gerimis Mengundang dan RG Victory mahu menyanyi lagu Kamelia.

Bagi kumpulan Wow, lagu Hafiz berjudul Ku Akui akan menjadi pertaruhan mereka untuk peringkat akhir.

Persembahan lima kumpulan berkenaan boleh disaksikan sehingga Jumaat ini menerusi platform digital Kool FM di laman web www.koolfm.com.my, Facebook, Youtube Kool TV, Instagram dan Twitter @koolfmmy.

Pembaca boleh mengundi kumpulan kegemaraan dan undian akan ditutup pada jam 6 petang, Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 2:32 PM