HASHIM (kanan) ketika sidang akhbar di Hotel Permai, semalam.
HASHIM (kanan) ketika sidang akhbar di Hotel Permai, semalam.

Kuala Terengganu: Pasangan adik-beradik Uma Sara, 16, dan Sara Alisha Nayar, 15, menjadi taruhan negara bagi merebut kejuaraan pada Kejohanan 2nd ITF International Juniors Terengganu Championship Grade 4 2017 yang bakal berlangsung di Kompleks Tenis Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Padang Hiliran 14 hingga 21 Mei ini.

Turut diharapkan mampu merebut kejuaraan adalah pemain Sabah yang mewakili Persatuan Tenis Terengganu (PTT) Christian Didier Chin yang beraksi dalam acara perseorangan kategori lelaki Main Draw.

Sebagai persiapan, pasangan adik beradik yang pernah memenangi emas acara beregu wanita serta perak acara berpasukan SUKMA 2016 Kuching itu giat menjalani latihan di Australia.

Pengarah kejohanan Hashim Ibrahim berkata, kejohanan anjuran PTT dengan kerjasama Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) itu akan disertai hampir 200 pemain tenis remaja dunia.

“Sebanyak 15 negara termasuk Malaysia akan menyertai kejohanan ini dalam acara perseorangan dan beregu membabitkan tiga kategori iaitu Main Draw, Qualifiying dan Waiting Room,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah akan disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 9:50 AM