PENG Soon (kiri) dan Liu Ying ketika memenangi Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 menewaskan pasangan Hong Pang Ron dan Shevon Lai di Arena Badminton Perak, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
PENG Soon (kiri) dan Liu Ying ketika memenangi Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 menewaskan pasangan Hong Pang Ron dan Shevon Lai di Arena Badminton Perak, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Aida Adilah Mat


BIARPUN berada di ranking selesa Road To Tokyo (PTT) Persekutuan Badminton Dunia (BWF), beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying masih tidak boleh menarik nafas lega.

Usaha tetap perlu diteruskan agar mutu permainan dan konsisten berada di tahap terbaik terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Justeru jemputan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) disambut baik untuk pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu yang dilihat memberi situasi menang-menang buat kedua-dua belah pihak yang dalam persediaan untuk menghadapi temasya Olimpik tahun depan.

Peng Soon yang kini menjadi pemain profesional ketika dihubungi berkata, dia dimaklumkan bahawa BAM akan memanggil semua pemain profesional yang mempunyai potensi layak ke Olimpik untuk berlatih di bawah satu bumbung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) bermula 15 Julai ini.

"Saya dimaklumkan bahawa latihan akan bermula Julai nanti iaitu sebanyak dua kali seminggu untuk permulaan ini.

"Jika betul dapat balik berlatih bersama ia bagus untuk saya, Liu Ying dan BAM kerana mempunyai rakan sepelatih yang terbaik.

"Tambahan pula ranking saya dan Liu Ying di depan, jadi kami akan guna pengalaman yang ada bersama-sama pemain muda lain untuk membantu sesama sendiri," katanya.

Menduduki ranking ketujuh dunia ketika ini, Peng Soon berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini memberi sedikit ruang buat dirinya melepaskan kerinduan dengan bermain tenis.

"Dapat bermain tenis bersama pun sudah bagus kerana saya boleh bergerak ke depan dan ke belakang selepas sekian lama tak dapat berbuat demikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 7:18 PM