CHRISTIAN Didier Chin. FOTO Zaid Salim
CHRISTIAN Didier Chin. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


TIGA pemain tenis remaja negara, meneruskan perjuangan di pusingan separuh akhir Kejohanan Tenis Remaja Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) Gred 4 di Kuala Terengganu, hari ini.

Christian Didier Chin, 17, yang tewas pada set pertama terpaksa bekerja keras bagi menundukkan Kasidit Samrej dari Thailand sebelum berjaya mengakhiri perlawanan yang memakan masa selama tiga jam dengan keputusan 4-6, 6-1, 7-5.

Seorang lagi pemain perseorangan negara, Shamirul Shahril bermandi peluh selama tiga jam 15 minit sebelum membuat kejutan menewaskan pilihan kesembilan kejohanan, Pengyu Lu dari China dengan keputusan 6-2, 3-6, 7-6(7).

Wakil tunggal perseorangan wanita, Sara Nayar, 16, layak selepas menewaskan pemain Indonesia, Putri Sanjungan Insani dengan keputusan 5-7, 6-2, 6-2 dalam pertembungan sengit selama dua jam 40 minit.

Manakala lima lagi pemain negara yang beraksi di pusingan ketiga gagal meneruskan perjuangan apabila kepada lawan masing-masing.

Pilihan keempat kejohanan, Uma Nayar, 17, yang juga kakak kepada Sara tewas kepada pilihan ke-13, Anika Seneviratne dari Sri Lanka dengan keputusan 3-6, 6-7(4).

Satu lagi pasangan adik beradik Syarifah Elysia Wan dan Syarifah Elsa Wan terpaksa melupakan aksi separuh akhir apabila gagal menyaingi kehebatan lawan.

Syarifah Elysia Wan tewas kepada Shivani Aminent dari India 6-7(3), 4-6 manakala Syarifah Elsa Wan kalah kepada pemain Indonesia Priska Madelyn Nughoro (2-6, 1-6).

Sementara itu, seorang lagi perseorangan lelaki negara, Darshan Suresh tewas kepada Ryoma Matsushita dari Jepun, 3-6, 6-2, 6-1.

Pusingan separuh akhir esok bermula jam 9 pagi manakala pusingan akhir pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 11:33 PM