PRESIDEN Persatuan Tenis Terengganu (PTT) Datuk Mohd Jidin Shafee (tengah) berbincang dengan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ibni Amin Busu (kanan) dan Timbalan Presiden PTT Hashim Ibrahim (kiri) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengelola Kejohanan Tenis Remaja Asia Bawah 14 tahun siri pertama 2018 di Permai Hotel. - Foto Zaid Salim
PRESIDEN Persatuan Tenis Terengganu (PTT) Datuk Mohd Jidin Shafee (tengah) berbincang dengan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ibni Amin Busu (kanan) dan Timbalan Presiden PTT Hashim Ibrahim (kiri) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengelola Kejohanan Tenis Remaja Asia Bawah 14 tahun siri pertama 2018 di Permai Hotel. - Foto Zaid Salim
Oleh Zaid Salim


SERAMAI 120 pemain tenis remaja Asia akan berkampung di Terengganu bagi menyertai Kejohanan Tenis Remaja Asia bawah 14 siri pertama 2018 (1st Terengganu ATF Under 14 Championship 2018) di Kompleks Tenis Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Padang Hiliran Kuala Terengganu bermula 31 Mac hingga 8 April ini.

Presiden Persatuan Tenis Terengganu (PTT) Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, pihaknya berbangga apabila Terengganu sekali lagi dipilih menganjurkan kejohanan tenis bertaraf antarabangsa selepas kejayaan menganjurkan sukan itu di peringkat remaja dunia tahun lalu.

"Ini adalah julung kali kita menganjurkan kejohanan tenis antarabangsa bawah 14 tahun. Selain Terengganu, siri kedua kejohanan akan berlangsung di Sabah sebelum ke negara lain untuk kejohanan siri seterusnya,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri berkata, antara negara yang turut serta ialah Jepun, Thailand, Korea, China, Indonesia, Thailand, Filipina, Hong Kong, Singapura dan lain-lain.

"Penganjuran tenis bawah 14 tahun di peingkat antarabangsa ini sangat mencabar dan ujian kepada Terengganu bagi membuktikan keupayaan sebenar," katanya.

Mohd Jidin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk pengelola kejohanan itu di Hotel Permai, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Ibni Amin Busu dan Timbalan Presiden PTT Hashim Ibrahim.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya sedang membuat persediaan rapi termasuk menaik taraf prasarana kompleks berkenaan bagi memastikan kelancaran penganjuran kejohanan di bawah kelolaan PTT dengan kerjasama Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) dan MSN Terengganu.

Selain itu katanya, kejohanan itu juga memperlihatkan komitmen tinggi pihak penganjur bagi menyokong menyemarakkan lagi Visit Beautiful Terengganu 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 10:05 PM