AP

Barcelona: Fernando Torres meledak dua jaringan ketika membantu Atletico Madrid menamatkan impian Real Madrid untuk mempertahankan kejuaraan Copa del Rey apabila kedua-duanya seri 2-2 dan keputusan itu turut mengekalkan dominasi Atletico ke atas pesaing setempat mereka musim ini.

Atletico melangkah ke suku akhir menerusi agregat 4-2 dan bakal bertemu Barcelona selepas pasukan itu menang 4-0 di Elche sekali gus layak dengan agregat 9-0.

Torres menggegar Santiago Bernabeu menerusi jaringan hasil hantaran Antoine Griezmann dan Sergio Ramos mengikat kedudukan 1-1 tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, Atletico lebih banyak bertahan di kawasan sendiri sebelum Griezmann sekali lagi membuat hantaran yang disudahkan Torres untuk membolehkan pasukannya mendahului 2-1 sejurus babak kedua bermula.

Cristiano Ronaldo mengikat kedudukan 2-2, tetapi Real perlu menjaringkan tiga lagi gol dalam tempoh 36 minit jika mahu layak ke suku akhir.

“Gol awal melonjakkan semangat kami,” kata Torres. “Saya gembira bagi pihak penyokong yang hadir ke stadium dan saya juga gembira apabila meledak dua gol di gelanggang yang selama ini menyaksikan saya tidak mampu berbuat demikian.”

Sejak tumbang di final Liga Juara-Juara di tangan Real, skuad kendalian Diego Simeone itu sering menewaskan musuh setempat berkenaan dan ia berlaku di Piala Super Sepanyol, La Liga dan kini Copa del Rey.

Ia melonjakkan rekod berbanding Real dengan empat kemenangan, tiga seri dan tiga tewas sejak berjaya menamatkan kemarau 14 tahun menerusi kejayaan di final Copa del Rey 2013.

“Kami menyingkirkan pasukan terbaik dunia,” kata Simeone.

Sementara itu, Real meneruskan aksi buruk apabila hanya menang sekali sepanjang empat aksi terakhir sejak menamatkan 2014 dengan rekod 22 kemenangan.

“Memang teruk rasanya apabila tewas, tetapi kita perlu sentiasa positif,” kata Ronaldo. “Pasukan pasti bangkit dan kami masih mempunyai peluang dalam saingan La Liga serta Liga Juara-Juara. Real kelab terbesar dunia dan kami sentiasa mahu menang walaupun ada kalanya tewas di tangan pasukan tertentu.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:06 AM