Madrid: Penampilan pertama Luis Suarez bersama Barcelona di laman sendiri berakhir dengan kekalahan mengejut apabila jaringan tunggal perlawanan oleh Joaquin Larrivey menghadiahkan kemenangan 1-0 buat Celta Vigo di Nou Camp, awal pagi semalam.

Real Madrid mengambil kesempatan atas kekalahan Barcelona itu dengan mengambil alih teraju liga apabila mereka mudah menumbangkan Granada 4-0 manakala juara bertahan Atletico Madrid melonjak ke tangga kedua dengan mengatasi Cordoba 4-2 di gelanggang sendiri.

Sama seperti aksi pertamanya ketika tewas kepada Real di Bernabeu minggu lalu, Suarez nyata kecewa apabila empat percubaan Barca terkena palang dan beberapa kali diselamatkan penjaga gol Celta, Sergio Alvarez.

“Melakukan penampilan pertama di Nou Camp dalam perlawanan kompetitif memang bagus, tapi keputusannya sekali lagi negatif,” kata Suarez.

“Kami mencipta banyak peluang, namun kami tidak bernasib baik. Mereka bertahan dengan baik dan penjaga gol mereka juga hebat.

“Bola sepak kadang kala tidak adil, pasukan lawan hanya mencipta satu peluang sepanjang perlawanan dan berjaya menjaringkan gol.”

Real melonjak ke tangga teratas liga selepas meraih gol daripada Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan dua gol James Rodriguez.

Ronaldo hanya mengambil masa 100 saat untuk mengumpul gol ke-22 musim ini apabila dia menolak masuk bola tolakan ke belakang Benzema untuk menghukum kesilapan pertahanan Granada.

Tiada apa yang mampu dilakukan pasukan tuan rumah apabila Rodriguez menggandakan pendahuluan untuk Real sembilan minit sebelum tamat babak pertama selepas bintang Colombia itu melepaskan sepakan voli ke penjuru gawang.

Ronaldo kemudian mencipta peluang untuk Benzema menjaringkan gol ketiga pada awal babak kedua sebelum Rodriguez menyumbat gol kedua peribadi dari jarak dekat empat minit sebelum tamat.

“Kami perlu terus mengekalkan prestasi ini,” kata jurulatih Real Carlo Ancelotti selepas menyaksikan pasukannya menjaringkan 46 gol dalam 11 perlawanan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:03 AM