AFP

Madrid: Persembahan cemerlang Atletico Madrid berterusan apabila Filipe Luis (gambar) menyumbat gol kemenangan 1-0 ke atas Real Sociedad untuk merapatkan jurang kepada tujuh mata berbanding pendahulu La Liga, Real Madrid, awal pagi semalam.

Luis meledak gol pertamanya musim ini ketika menang 2-0 di Malaga Sabtu lalu dan menjaringkan gol bagi perlawanan kedua berturut-turut buat kali pertama dalam kariernya selepas menyempurnakan satu gerakan menarik sepasukan pada minit ke-28.

Fernando Torres, Yannick Carrasco dan Angel Correa semuanya menyumbang hantaran kepada gol tunggal Atletico itu ketika mereka unggul tiga mata di depan Sevilla bagi pertarungan tangga ketiga.

Real Madrid masih mempunyai kelebihan beraksi kurang dua perlawanan berbanding Atletico dan kedua-duanya akan bertemu sesama sendiri pada pertembungan jiran setempat Madrid, Sabtu ini.

Atletico akan bertandang ke Santiago Bernabeu dengan penuh keyakinan selepas mencatat kemenangan kelima berturut-turut.

“Kecuali 15 minit pertama apabila mereka mendominasi bola, kami meningkatkan tempo, menekan lawan dengan baik dan mencipta peluang,” ujar bos Atletico, Diego Simeone.

“Ia satu kemenangan yang amat penting.”

Antoine Griezmann dua kali hampir memecah kebuntuan menentang bekas kelabnya apabila percubaan pertamanya dihalang sebelum Geronimo Rulli pantas menyelamatkan rembatan leretnya.

Pemain kebangsaan Perancis itu turut terbabit dengan gol tunggal itu apabila Luis bertukar hantaran dengannya dan Torres sebelum merembat masuk.

Torres kemudian gagal menggandakan kelebihan Atletico apabila percubaannya hasil hantaran leret Carrasco terkena palang dengan pintu gol ternganga dan kemudian merembat bola muntah ke tepi jaring.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 8:02 AM