Reuters

Barcelona: Penyerang Atletico Madrid, Fernando Torres percaya keupayaan jurulatih Diego Simeone untuk memahami titik kelemahan pasukan itu menjadi punca kejayaan mereka musim ini dan semangat serupa akan dibawa untuk membalas dendam ke atas Real Madrid ketika kedua-dua pasukan bertemu di suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Musim lalu, Atletico dikecewakan Real yang muncul juara Eropah buat kali ke-10 di Lisbon, tetapi kini Atletico menganggap mereka lebih sedia untuk menghadapi pertemuan berkenaan.

Sejak kekalahan di final ketika Atletico hampir bergelar juara sebelum tandukan Sergio Ramos mengheret perlawanan ke masa tambahan yang membolehkan Real menang, skuad kendalian Simeone itu sering mengatasi Real pada pertembungan setempat di Madrid.

Atletico mengalahkan Real untuk menang Piala Super yang menjadi pembuka tirai La Liga sebelum sekali lagi mengatasi lawan serupa di Piala Raja. Pada kedua-dua pertemuan La Liga, Atletico turut mencatat kemenangan. Kejayaan besar 4-0 ke atas Real, Februari lalu turut mendorong kepada persoalan mengenai masa depan jurulatih Carlo Ancelotti.

“Ia mengenai karektor selaku pemain dan jurulatih yang mendorong pasukan untuk mencatat keputusan memberangsangkan,” kata Torres kepada UEFA.com mengenai Simeone menjelang pertemuan itu.

“Beliau sedar apa yang kami perlukan, kelemahan dan kekuatan kami, tetapi apa yang paling penting ialah beliau sedar apa yang mampu kami capai.

“Kami tidak ada pilihan seperti yang dimiliki Real Madrid, Barcelona, Bayern (Munich) atau Chelsea, kami tidak boleh tercicir mata atau mendapat mata ketika diperlukan. Kami adalah pasukan yang bermain dengan tahap yang kami ada.”

Tekanan mungkin menjadi milik Ancelotti selepas kehilangan pendahuluan La Liga selain ketinggalan dua mata di belakang Barcelona.

Begitupun, faktor positif yang dicari selama ini mungkin ada di tangan Luka Modric serta James Rodriguez yang kembali daripada kecederaan.

Cristiano Ronaldo turut cemerlang apabila meledak lapan gol sepanjang empat perlawanan.

“(Ronaldo) mampu mengambil kesempatan kerana kami kini semakin pantas dan ia membolehkan dia ruang di depan gol lawan,” kata Ancelotti. “Perkara sebegini menjadi faktor penting untuk berdepan Atletico.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:22 AM