AFP

Madrid: Barcelona bangkit daripada catatan terburuk kekalahan La Liga dalam tempoh 13 tahun dengan penuh bergaya apabila Luis Suarez menyumbat empat gol ketika membelasah Deportivo la Coruna 8-0, awal pagi semalam.

Ivan Rakitic, Lionel Messi, Marc Bartra dan Neymar turut menemui sasaran membantu Barca kembali menguasai perebutan kejuaraan Sepanyol.

Rekod pertemuan lebih unggul membantu Barca kekal di depan Atletico Madrid di puncak carta dengan baki empat perlawanan apabila Fernando Torres terus menyerlah dengan menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Athletic Bilbao.

Real Madrid kekal satu mata di belakang di tangga ketiga tatkala gol sumbangan Karim Benzema, Lucas Vazquez dan Luka Modric memastikan kemenangan 3-0 ke atas Villarreal.

Bagaimanapun, kemenangan itu sedikit menyedihkan apabila Cristiano Ronaldo dilihat terhincut-hincut memegang hamstring kanannya beberapa minit sebelum tamat.

“Dia mencetus kebimbangan tapi saya tidak fikir ia sesuatu yang serius,” ujar bos Madrid Zinedine Zidane, pasukannya berdepan Manchester City pada separuh akhir Liga Juara-Juara minggu depan.

“Saya lebih tenang sekarang berbanding ketika melihatnya meninggalkan padang.”

Kebangkitan Barca hadir selepas hanya meraih satu mata dalam empat perlawanan terakhir liga.

“Kami manusia biasa, kami bukannya mesin dan kami boleh melakukan kesilapan atau bermain buruk,” kata Suarez.

“Hari ini membuktikan kelompok pemain ini lebih bersatu dan terdesak untuk memenangi liga. Ia masih dalam jangkauan kami.”

Torres meletakkan Atletico dalam perebutan apabila dia menjaringkan gol bagi lima perlawanan berturut-turut dengan tandukan padu hasil hantaran lintang Antoine Griezmann tujuh minit sebelum rehat di Bilbao.

“Saya gembira membantu pasukan meraih mata sekali gus semakin menghampiri objektif kami,” jelas Torres.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 8:25 AM