AFP

Madrid: Antoine Griezmann (gambar tengah) meledak kali ketiga dalam tiga perlawanan pada 2017 ketika Atletico Madrid memastikan tempat ke suku akhir Piala Raja Sepanyol 4-3 secara agregat sekalipun tewas 2-3 di laman sendiri kepada Las Palmas, awal pagi semalam.

Griezmann melupakan kekecewaan menduduki tangga ketiga di belakang Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi bagi pemain terbaik dunia pada Anugerah Terbaik FIFA kelmarin apabila meledak gol pembukaan empat minit selepas rehat.

Gol individu menarik Marko Livaja memberikan Las Palmas nafas seketika namun Angel Correa kelihatan memastikan kemenangan selepas sejam.

Bagaimanapun tuan rumah bermandi peluh pada masa kecederaan apabila dua gol dalam tempoh tiga minit menerusi Livaja dan Mateo Garcia mencetus kemenangan Las Palmas.

“Perkara sebegini sering berlaku dalam Piala Raja Sepanyol,” kata bos Atletico Diego Simeone.

“Mereka menyudahkan beberapa peluang dengan baik bermakna sekalipun kami menguasai permainan, mereka pulang sebagai pemenang.”

Sekalipun mendahului selesa 2-0 pada aksi pertama, Simeone tetap menurunkan barisan terkuatnya.

Griezmann diturunkan walaupun baru pulang dari Zurich menghadiri anugerah FIFA 24 jam terdahulu dan meraih peluang pertama apabila dia merembat tepat ke arah penjaga gol Raul Lizoain pada minit ke-23.

Las Palmas berpeluang bangkit namun Miguel Moya menghasilkan tindakan penyelamat menakjubkan untuk menafikan tandukan kencang Livaja sebelum Tana merembat liar dalam kotak penalti.

Griezmann menyumbat gol buat kali pertama dalam La Liga dalam tempoh tiga bulan ketika menang 2-0 di Eibar Sabtu lalu, namun pemain Perancis itu kini berada pada prestasi terbaik apabila dia menampan masuk hantaran silang Nicolas Gaitan pada awal babak pertama untuk memberikan gol pendahuluan Atletico.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 8:43 AM