GOL kemenangan jaringan Griezmann.
GOL kemenangan jaringan Griezmann.
AFP

Madrid: Antoine Griezmann sekali lagi muncul wira Atletico Madrid apabila menjaringkan gol 17 minit sebelum tamat bagi memberikan kemenangan 1-0 ke atas Espanyol di tempat lawan, kelmarin.

Atletico dikuasai lawan hampir sepanjang permainan dan mereka turut berterima kasih kepada penjaga gol Jan Oblak apabila beraksi cemerlang menyelamatkan percubaan Leo Baptistao.

Kemenangan itu memastikan Atletico kekal tiga mata mendahului Sevilla dalam perebutan tempat ketiga di belakang Real Madrid dan Barcelona.

Jurulatih Atletico, Diego Simeone hanya membuat satu pertukaran terhadap pasukan yang menempah tiket ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun dengan menewaskan Leicester.

Perlawanan yang disertai mereka pada pertengahan minggu memberi kesan apabila kedua-dua kelab tidak memberi sebarang ancaman sebelum rehat.

Namun kemasukan Kevin Gameiro di samping Griezmann memberikan dimensi berbeza buat Atletico pada 25 minit terakhir.

Diego Lopez menyelamatkan percubaan Gameiro selepas Saul Niguez dikasari lawan.

Namun bekas penjaga gol Real Madrid itu sepatutnya berusaha lebih keras apabila Griezmann meledak voli untuk gol ke-25 sepanjang musim ini selepas menyambut lantunan bola percubaan Niguez.

Baptistao hampir menyamakan kedudukan beberapa saat kemudian apabila memperoleh peluang tetapi Oblak berjaya mencatat rekod bersih untuk aksi kelapan daripada 11 perlawanan.

Terdahulu Villarreal kembali menghampiri lapan mata dengan empat pasukan teratas dengan penuh kontroversi apabila Cedric Bakambu menjaringkan gol pada saat akhir untuk menewaskan Leganes 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 9:48 AM