Madrid: Juara Sepanyol, Atletico Madrid mengalami kekalahan pertama di laman sendiri dalam 28 perlawanan apabila Luciano Vietto menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84, sekali gus membantu Villarreal menang 1-0 di Vicente Calderon, awal pagi semalam.

Kesilapan anak buah Diego Simeone dihukum pelawat, yang boleh mendahului sebelum gol itu, namun dinafikan tindakan penyelamat mengagumkan penjaga gol Miguel Angel Moya.

Kekalahan itu menyebabkan Atletico kini tujuh mata di belakang pendahulu Real Madrid dan tiga mata berbanding pasukan tangga kedua Barcelona, pasukan terakhir yang menundukkan Atletico di laman sendiri dalam aksi La Liga pada Mei 2013, manakala Villarreal melonjak ke tangga keenam.

“Saya hanya boleh bercakap mengenai perlawanan kerana menumpukan terhadap permainan,” jelas Simeone, yang memberi Vietto peluang penampilan profesional ketika mengendalikan Racing Club di Argentina.

“Mereka menang aksi ini menerusi gol Vietto dan saya gembira buatnya sekalipun kami tidak kalah di sini lebih setahun.”

Bos Villarreal, Marcelinho yakin pasukannya berhak menang selepas memberikan tentangan sengit kepada Real Madrid, Barcelona dan Sevilla musim ini.

“Kelompok pemain ini berhak meraih kemenangan begini,” ujarnya.

“Kami berikan tentangan sengit terhadap pasukan gergasi apabila bermain dengan bagus, tapi gagal menang.”
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:16 AM