Selain menjadi mangsa dagangan sindiket penyeludup, ramai pendatang dari Afrika mati lemas ketika menyeberang Laut Mediterranean dari Libya ke Itali.
Selain menjadi mangsa dagangan sindiket penyeludup, ramai pendatang dari Afrika mati lemas ketika menyeberang Laut Mediterranean dari Libya ke Itali.
Reuters

Geneva: Ramai pendatang dari Afrika yang mahu ke Eropah menjadi mangsa perdagangan manusia, dijual di pasar hamba dengan wanita menjadi diperguna untuk seks, termasuk dirogol dan dijadikan pelacur, malah ada yang dibiar mati kelaparan.

Menurut laporan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migran (IOM) PBB, pendatang dari Afrika Barat dijual di kawasan letak kereta di Sabha, selatan Libya iaitu bandar utama penyeludupan pendatang di negara itu.

Mereka dijual dengan harga antara AS$200 (RM886) dan AS$500 (2,216) serta dikurung antara dua hingga tiga bulan.

Pengarah Operasi dan Kecemasan IOM di Libya, Othman Belbeisi, berkata pendatang dijual beli seperti komoditi.

“Menjual manusia kini menjadi perniagaan utama penyeludup dan rangkaian penyeludupan pendatang di Libya kini semakin kukuh,” katanya.

Beliau berkata, ramai pendatang dari Nigeria, Senegal dan Gambia ditangkap ketika melakukan perjalanan ke utara, menuju perairan Mediterranean di Libya untuk mendapatkan bot ke Itali.

Kumpulan bersenjata dan sindiket penyeludup memeras ugut pendatang sebagai bayaran untuk meneruskan perjalanan dan ramai dipaksa bekerja di tapak pembinaan atau ladang dengan gaji rendah atau tanpa gaji.

“Mengenai wanita, kami diberitahu ada yang dirogol dan dipaksa menjadi pelacur,” katanya.

Menurutnya, seorang pendatang Senegal menceritakan dia dikurung dalam sebuah rumah di Sabha bersama 100 lagi pendatang dan mereka dipukul untuk memaksa mangsa menghubungi keluarga meminta wang tebusan.

Dia kemudian dijual kepada penyeludup Libya lain, yang menetapkan harga baru bagi pembebasannya.

Menurut IOM, ada pendatang yang gagal membayar wang tebusan dibunuh atau dibiarkan mati kelaparan.

“Apa yang kami tahu setakat ini, pendatang yang ditangkap penyeludup menjadi mangsa deraan seksual, dibiar kelaparan dan dibunuh.

“Kami diberitahu ada kubur besar di padang pasir,” kata Othman.

Libya adalah pintu keluar utama pendatang yang mahu ke Eropah melalui laut dengan 150,000 menyeberang setiap tahun sejak tiga tahun lalu.

Dalam tiga bulan pertama tahun ini saja, hampir 30,000 menyeberang ke Itali berbanding 7,000 orang dalam tempoh sama pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 9:51 AM