AFP

LIBYA akan menyiasat perniagaan hamba membabitkan pendatang dari benua Afrika di negara itu selepas kemunculan rakaman video menunjukkan pendatang dilelong dengan harga serendah AS$400.

Rakaman video itu disiarkan CNN minggu lalu, menunjukkan lelaki berkulit hitam dipercayai mewakili pembeli, membeli pendatang terbabit untuk bekerja di ladang.

Mereka dijual dengan harga serendah AS$400.

Dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook semalam, Timbalan Perdana Menteri Lbya, Ahmed Metig, berkata pihaknya akan menyiasat kejadian itu.

Dalam rakaman video disiarkan CNN, dirakam menggunakan telefon, menunjukkan pendatang dari Nigeria berusia 20-an, ditawar untuk dijual dengan jurulelong menyatakan ia kuat untuk bekerja di ladang.

Pendatang itu antara 20 lelaki yang dilelong pada masa itu.

Jurulelong kedengaran berkata “800... 900... 1,000... 1,100...” sebelum dua lelaki dijual dengan harga 1,200 dinar Libya (AS$875).

Presiden Guinea, Alpha Conde, yang juga Pengerusi Kesatuan Afrika, mendesak siasatan dilakukan dan mereka yang terbabit didakwa.

Puluhan ribu, mungkin ratusan ribu pendatang dari Guinea, Senegal, Mali, Niger, Nigeria dan Gambia menempuh perjalanan jauh dan sukar merentas Sahara ke Libya dengan harapan menyeberang Laut Mediterranean ke Eropah.

Selain ribuan yang lemas dalam laut, ramai lagi menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 12:32 AM
Petikan video disiarkan CNN menunjukkan dua lelaki dipercayai dari Nigeria dilelong sebagai hamba di Libya.
Petikan video disiarkan CNN menunjukkan dua lelaki dipercayai dari Nigeria dilelong sebagai hamba di Libya.