SUSPEK yang menembak monyet dengan dart penenang ditahan. FOTO Agensi
SUSPEK yang menembak monyet dengan dart penenang ditahan. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Dua lelaki ditahan kerana menembak monyet ekor panjang dengan dart penenang di pusat tarikan pelancongan pergunungan, Wat Khao No di daerah Banphot Phisai, Nakhon Sawan, pada Khamis.

Kawasan berkenaan terkenal dengan monyet ekor panjang.

The Nation Thai melaporkan, suspek dikenali sebagai Thaweeluck, 37, dan Phromphiram, 23, dilaporkan mengaku merancang menjual monyet itu ke restoran di negara jiran, dengan bayaran sehingga 100,000 baht (RM12,894.97) setiap seekor monyet.

Susulan tangkapan itu, pegawai menyelamat dan memindahkan sembilan monyet ke pusat perlindungan berhampiran Wat Khao No.

Tetapi, seekor mati akibat kesan ubat penenang dan seekor lagi dibunuh anjing, manakala selebihnya dilepaskan ke kawasan hidupan liar pada pagi Jumaat.

Seorang penjual yang menjual makanan untuk monyet di Wat Khao No berkata, bilangannya menurun secara mendadak sejak beberapa tahun lalu kerana penyeludup menangkap dan menjualnya.

Katanya, ada yang melarikan ibu dan bapa monyet terbabit menyebabkan anaknya mati kelaparan.

Seorang penduduk Banphot Phisai, Suwan Khamenkhetkarn, berkata, sebelum ini, lebih daripada 100,000 monyet terdapat di kawasan pergunungan itu, tetapi kini hanya ada kurang daripada 10,000 ekor kerana kumpulan penyeludup ini.

Beliau berkata pegawai perlu meningkatkan rondaan di sekitar kawasan itu dan menangkap penyeludup sebelum semua monyet hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 3:34 PM