RUMPUN buluh di Kuil Gyeonggijeon lokasi penggambaran Love In The Moonlight.
RUMPUN buluh di Kuil Gyeonggijeon lokasi penggambaran Love In The Moonlight.
LOKASI penggambaran drama Love In The Moon Light di Gwanghalluwon Garden.
LOKASI penggambaran drama Love In The Moon Light di Gwanghalluwon Garden.
SUASANA di The Garden of Morning Calm yang menakjubkan.
SUASANA di The Garden of Morning Calm yang menakjubkan.
LOKASI drama Scarlet Heart The Moonlight Lovers di taman batu (rock garden) Hantaek Botanical Garden.
LOKASI drama Scarlet Heart The Moonlight Lovers di taman batu (rock garden) Hantaek Botanical Garden.
Nik Juliati Nik Man


Cinta pandang pertama. Itu ungkapan yang dapat penulis gambarkan ketika kali pertama menjejakkan kaki di bumi Korea Selatan atas jemputan Organisasi Pelancongan Korea (KTO) menyertai lawatan KTO KL K-Drama Media Fam Trip 2017 ke beberapa kawasan menarik yang menjadi lokasi penggambaran drama bersiri popular Korea.

Bagi peminat tegar, empat drama bersiri terkenal Korea iaitu Scarlet Heart: The Moonlight Lovers, Love In The Moonlight, Goblin: The Lonely And The Great God dan Legend of The Blue Sea sudah pasti tidak asing bagi mereka. Pelbagai gambaran bermain di fikiran penulis membayangkan betapa teruja berpeluang melihat sendiri lokasi penggambaran yang menjadi ‘kegilaan’ peminat K-drama.

Bayu dingin menyambut penulis ketika tiba di lapangan terbang Incheon selepas tujuh jam perjalanan merentas awan. Walaupun suhu mencecah sehingga -3oCelsius penulis tetap gembira dan tidak sabar untuk meneruskan perjalanan ke destinasi dituju.

Penulis bersama rombongan kemudian dibawa ke Stesen Keretapi Ekspres Korea (KTX) di Yongsan. KTX adalah perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang mula beroperasi pada 2004 dengan kepantasan mencapai 300km/jam. Perjalanan dari Stesen Yongsan menuju Stesen Jeonju mengambil masa dua jam 20 minit.

Masa dirasakan bergerak begitu pantas seiring kelajuan KTX. Suasana dan ruang yang serba selesa di dalam KTX membuatkan penulis tidak sedar masa berlalu kerana begitu asyik melihat panorama indah sepanjang jalan.

Perkhidmatan terbaik serta layanan petugas KTX yang sangat efisien menghilangkan penat kami melalui perjalanan yang jauh.

Destinasi pertama kami ke Jeonju Hanok Village yang menjadi lokasi penggambaran drama Love In The Moon Light. Penulis terpesona seketika melihat pemandangan yang sangat cantik serta udara bersih di perkampungan berkenaan.

Tanpa melengahkan masa kami terus dibawa ke lokasi penggambaran utama iaitu Kuil Gyeonggijeon yang berada berdekatan pintu masuk Hanok Village. Kuil yang menyimpan potret Raja Taejo, pengasas Dinasti Joseon digunakan untuk adegan dalam drama berkenaan.

Rumpun buluh yang rimbun di sekitar kuil muncul pada episod pertama drama Love In The Moonlight ketika Ra-on (Kim Yoo-jung) yang masuk ke istana menyamar sebagai pegawai istana bertemu Putera Mahkota (Park Bo-gum) buat kali pertama.

Pada hari kedua rombongan kami bergerak ke Namwon untuk melawat dua lagi tempat iaitu Gwanghalluwon Garden dan Buan Cine Theme Park yang turut menjadi lokasi penggambaran drama Love In The Moonlight. Taman Gwanghalluwon yang dibina pada zaman Dinasti Joseon memukau mata sesiapa sahaja yang melihatnya. Taman terkenal di Korea kebanyakan berasal dari zaman Dinasti Joseon (1392-1910) dan masih dipelihara dengan baik.

Ruangan taman dari zaman kuno yang dibina kembali menjadi tarikan pengunjung.

Buan Cine Theme Park pula adalah kompleks pengeluaran filem besar di Gyeokpo-ri, Byeonsan-myeon, Buan-gun dengan keluasan 148, 400 meter persegi.

Taman itu terdiri daripada dua bahagian utama iaitu sebuah perkampungan dan studio tertutup dipanggil Sunset Village. Dibina lengkap dengan suasana perkampungan menjadi pilihan penggambaran pelbagai drama dan filem terkenal termasuk juga drama Love In The Moonlight.

Selain itu, dua lagi tempat menarik bagi penggambaran Love In The Moon Light adalah The Garden of Morning Calm di Gapyeong dan Hwaseong Haenggung di Suwon. Bagi yang suka bergambar jangan lepaskan peluang merakam memori indah di dua lokasi ini.

The Garden of Morning Calm adalah taman botani yang menakjubkan terletak di kaki bukit. Pengunjung pasti terpesona jika datang pada waktu malam kerana seluruh kawasan dihiasi lampu berwarna-warni yang memukau mata. Lokasi yang menarik perhatian pengunjung sudah tentu di kolam Seohwayeon. Kolam Seohwayeon dengan jambatan kecil dan astaka comel menjadi lokasi penggambaran episod pertama dan ketiga drama Love In The Moonlight.

Bagi penggemar sejarah mereka boleh melawat Hwaseong Haenggung di Suwon iaitu sebahagian kubu Hwaseong, manakala Haenggung pula adalah istana sementara maharaja Korea yang dijadikan tempat berlindung ketika peperangan. Istana Hwaseong Haenggung adalah yang terbesar dan digunakan Raja Joseon sejak zaman Raja Jeongjo (1776-1800).

Kubu Hwaseong diiktiraf sebagai warisan kebudayaan dunia oleh UNESCO pada 1997. Warisan kebudayaan dunia ini, satu-satunya kubu yang berbenteng di Korea Selatan. Kini Kubu Hwaseong sudah menjadi destinasi popular pelancongan di Suwon.

Hari berikutnya kami meneruskan perjalanan ke Baekje Cultural Land yang juga tapak penggambaran utama drama Scarlet Heart: The Moonlight Lovers.

Baekje Cultural Land adalah tempat yang dikhususkan untuk sejarah dan budaya Kerajaan Baekje. Turut ada dalam Baekje Cultural Land adalah Muzium Sejarah dan Budaya Baekje. Bangunan paling menarik perhatian di sini adalah pagoda kayu 5 tingkat dengan ketinggian 38 meter. Ini adalah ukuran asli replika daripada artifak yang ditemukan di Makam Neungsan-ri Buyeo dan juga menampilkan kemegahan budaya dan martabat Baekje.

Bagi penulis Baekje Cultural Land menawarkan pengalaman unik berkaitan sejarah, kehidupan masyarakatnya dan pelbagai macam warisan peninggalan Baekje 1,400 tahun yang lampau.

Meneruskan misi, kami ke Hantaek Botanical Garden di Yongin untuk melihat dengan lebih dekat lokasi penggambaran drama Scarlet Heart: The Moonlight Lovers.

Bagaikan berada di alam fantasi penulis kagum dengan suasana di taman itu. Setiap sudut dengan dekorasi taman yang sangat menarik dan unik. Kebetulan juga ketika penulis sampai salji meliputi segenap kawasan menambahkan lagi keindahan taman itu.

Lokasi pilihan drama Scarlet Heart: The Moonlight Lovers adalah di taman batu (rock garden). Di sini ada kolam kecil dan pelbagai pokok dihias sekeliling taman. Penulis juga sempat merakam gambar persis babak dalam drama Scarlet Heart!

Drama Scarlet Heart: The Moonlight Lovers turut melakukan penggambaran di Wolhuawon di Suwon yang juga taman tradisional Cina. Suasana yang tenang di taman itu sesuai dengan babak cinta dalam drama berkenaan.

Sebut saja drama bersiri Goblin: The Lonely And The Great God, penulis yakin umum tahu populariti drama yang melonjak naik itu. Membariskan pelakon popular menjadikan drama itu fenomena di seluruh dunia. Penulis sempat melawat Yun Bo Seon Stonewall Street yang dijadikan lokasi penggambaran bagi babak Goblin iaitu Kim Shin (Gong Yoo) berselisih dengan Ji Eun Tak (Kim Go Eun) ketika melalui sebuah lorong.

Hari terakhir penulis ke Sungai Hangang di Seoul yang menjadi lokasi pilihan penggambaran drama fantasi romantis The Legend of The Blue Sea. Sungai Hangang sangat luas dan mengalir hingga ke Laut Kuning. Di sekitar Sungai Hangang juga ada taman yang menarik sebagai tempat rekreasi. Drama The Legend of The Blue Sea mengambil latar belakang Sungai Hangang yang memaparkan beberapa babak. Antaranya dalam episod lapan, Heo Jeon Jae bertemu Sim Chung di taman ini.

Sungai Hangang adalah destinasi terakhir penulis di Korea. Sepanjang lima hari berada di Korea adalah pengalaman sangat menakjubkan bagi penulis. Menikmati suasana nan indah musim dingin adalah saat yang tak mungkin dilupakan buat penulis.

Semoga pembaca dapat berkongsi dan menikmati keajaiban cinta di Korea Selatan. Jika ingin memperoleh maklumat lanjut mengenai lokasi menarik dikunjungi di Korea Selatan, pembaca boleh ‘like’ laman Korea Tourism Organization -VisitKorea di laman Facebook atau layari http://www.visitkorea.or.kr.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 7:34 AM