PASAR Nangman dengan suasana romantik ala Eropah.
PASAR Nangman dengan suasana romantik ala Eropah.
MENURUNI tangga bagi meneroka perut Gua Gwangmyeong.
MENURUNI tangga bagi meneroka perut Gua Gwangmyeong.
BERSANTAI di bawah walkway Design Plaza di Dongdaemun.
BERSANTAI di bawah walkway Design Plaza di Dongdaemun.
BANGUNAN bereka bentuk cita rasa Perancis di Petite France.
BANGUNAN bereka bentuk cita rasa Perancis di Petite France.
PINTU gerbang untuk masuk ke laman Changdeok Palace.
PINTU gerbang untuk masuk ke laman Changdeok Palace.
PULAU Nami tarikan buat pengunjung sedang bercinta.
PULAU Nami tarikan buat pengunjung sedang bercinta.
Oleh Mahaizura Abd Malik


Selama empat hari di Pulau Jeju terasa begitu singkat dan belum puas menikmati keindahan panorama flora dan marina satu daripada tujuh keajaiban warisan semula jadi dunia itu.

Pada hari keempat di negara yang menggilai kimchi (sayur jeruk) itu, kami berlepas ke Seoul. Sejurus tiba di Lapangan Terbang Gimpo, kami menaiki bas selama dua jam untuk ke Pulau Nami yang terkenal sebagai lokasi penggambaran drama Winter Sonata.

Selepas menjamu selera di sebuah restoran halal yang menghidangkan ayam panggang, kami ke jeti untuk menaiki feri ke Pulau Nami.

Terletak 63 kilometer dari Seoul, pulau ini terbentuk hasil mendapan batu dan pasir Sungai Han. Pembinaan Empangan Cheongpyeong mengukuhkan lagi keadaan geografi pulau itu di tengah-tengah Sungai Han.

Kira-kira 10 minit menyeberangi sungai kecil itu, kami tiba di Pulau Nami atau dikenali sebagai Namiseom oleh penduduk tempatan.

Suasana di sini sungguh tenang dan indah pemandangannya. Menerusi pemerhatian penulis, pulau itu bukan sekadar pulau biasa sebaliknya amat mementingkan keperluan pelawat dengan penyediaan kemudahan yang banyak dan amat memuaskan hati.

Daripada pejabat pos, kaunter penukaran mata wang asing, kedai cenderahati, perpustakaan mini, restoran halal, bilik solat dan tempat penginapan, destinasi pelancong itu memang peka terhadap keadaan semasa dan keperluan pengunjung.

Selepas puas merakamkan kenangan di pulau itu, kami ke jeti dan menaiki bas untuk ke Petite France yang juga lokasi penggambaran drama, kali ini My Love From The Star lakonan Kim Soo-Hyun dan Jun Ji-Hyun.

Ketika berada di situ, umpama berada di sebuah penempatan Perancis apabila semua bangunan dibina dengan reka bentuk pengaruh Eropah. Kami bertolak ke Chuncheon dan singgah di sebuah pasar romantik atau lebih dikenali penduduk tempatan sebagai Pasar Nangman.

Pasar tradisional pertama di Chuncheon ini mempunyai deretan kedai menjual pelbagai barangan rumah, pakaian, kasut dan aksesori yang dijual pada harga amat murah.

Keesokannya kami dibawa merasai pengalaman benar-benar unik di gua bekas lombong arang batu tertua iaitu Gua Gwangmyeong di Gyeong–gi-do. Gua berusia lebih 100 tahun itu baru saja dibuka secara rasmi kepada awam sekitar April lalu yang diubah suai menjadi taman gua bertema dengan kombinasi budaya dan seni.

Walaupun cuaca di luar panas terik, gua itu menyambut tetamu dengan suhu 12 darjah Celsius.

Di dalamnya pelawat berpeluang menikmati filem 3D hologram, persembahan budaya, kebun, dunia akuarium, muzium menempatkan peninggalan bersejarah serta simbahan kilauan lampu berwarna-warni menggunakan teknologi diod pemancar cahaya (LED).

Korea Selatan yang sememangnya dikenali sebagai negara penghasil muzik pop (K-Pop) menggunakan kelebihan yang ada dengan memperkenalkan tempat tarikan untuk peminat K-Pop seperti K-Star Road, SM Town dan COEX yang menyerupai studio artis dan selebriti terkenal tanah air mereka.

Sebelum berlabuh di hotel, kami singgah di Dongdaemun Design Plaza iaitu mercu tanda utama pembangunan bandar di Seoul. Reka bentuknya bercirikan neofuturistik dan berbentuk bujur melengkung menempatkan taman walkway di atas bumbung, deretan kedai, kubu yang dibaik pulih serta ruang pameran.

Malah, pada waktu malam, tempat itu sangat cantik dengan limpahan cahaya lampu di bangunan itu serta hamparan taman bunga ros buatan LED.

Seawal jam 9 pagi esoknya, kami dibawa ke satu daripada lima istana kerajaan terkenal di Korea Selatan iaitu Changdeokgung Palace atau Changdeok Palace.

Changdeok Palace adalah istana kerajaan kedua dibina Dinasti Joseon pada 1395 selepas Gyeongbokgung. Istana itu dibangunkan indah mengikut kesesuaian bentuk muka buminya yang berbukit dan berlengkuk sehingga diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu) pada 1997.

Selepas itu, kami ke lokasi membeli-belah terkenal seperti Samcheongdong Street, Hongdae Art Street selain Itaewon Street yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian dan perhiasan.

Penulis tertarik untuk berkongsi pengalaman di Itaewon Street yang sering menjadi tumpuan pelancong Muslim dan Barat kerana banyak kedai barangan berjenama seperti pakaian, kasut atau beg serta restoran Arab, Melayu dan Indonesia. Daripada lebih 20 deretan restoran yang menawarkan pelbagai makanan halal, saya kira ia menjadi unsur tambahan yang menarik kehadiran pelancong Muslim.

Malah, di kawasan itu juga ada kedai runcit dan pasar mini, maka mudah bagi mereka yang menginap di kawasan itu untuk mendapatkan bekalan barang asas dan mentah.

Sepanjang perjalanan ke sebuah restoran, kami melalui penempatan yang kebanyakan pemastautinnya berketurunan Arab, Turki, Pakistan, Eropah malah ada juga dari Malaysia.

Penulis dan beberapa rakan sempat singgah di masjid pertama di Korea Selatan yang dibina pada 1976 iaitu Masjid Pusat Seoul untuk menunaikan solat Asar. Berhampiran masjid itu pula pusat Islam yang menempatkan madrasah dan Institut Kajian Budaya Islam.

Pada sebelah malamnya saya dan beberapa rakan meluangkan masa untuk membeli-belah di Pasar Myeongdong sebelum pulang pada keesokannya.

Secara jujurnya, tidak dapat saya coretkan satu persatu semua tempat yang dilawati dalam satu masa tetapi apa yang pasti, Korea Selatan terutama Pulau Jeju mempunyai daya tarikan tersendiri yang unik hingga memahat kenangan amat manis buat saya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:01 AM