SCARLET Heart memaparkan kisah romantik yang digarap dengan sejarah.
SCARLET Heart memaparkan kisah romantik yang digarap dengan sejarah.
Syafil Syazwan Jefri


Bagi pengikut setia drama bersiri Korea Selatan, Scarlet Heart yang mula bersiaran di Saluran One (Astro 393) semalam antara paling dinanti tahun ini.

Drama itu ke udara serentak dengan waktu tayangan di Korea Selatan dan turut disertakan dengan sari kata bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Menariknya, Scarlet Heart bukan sekadar menyajikan pertembungan kisah zaman moden dan silam tetapi turut mengangkat sejarah Korea dalam bentuk visual yang dramatik.

Naib Presiden Kanan Kandungan Saluran Asia Sony Pictures Virginia Lim berkata, ini antara usaha pihaknya memberikan hiburan terbaik dari Korea Selatan kepada penonton.

“Dalam usaha memenuhi jangkaan kandungan yang menarik dan pantas buat penonton, buat julung kalinya kami menawarkan waktu tayangan drama serentak dengan Korea Selatan.

Virginia berkata, dia yakin beberapa kualiti dalam drama itu mampu menarik perhatian pencinta drama negara itu di Malaysia.

“Saya percaya ramai akan jatuh cinta dengan drama ini kerana kualitinya. Bukan sahaja memaparkan jalan cerita yang menarik, drama ini juga dibintangi ramai pelakon dan penyanyi terkenal Korea Selatan.

“Memandangkan drama Korea Selatan masih menjadi fenomena di negara ini, Scarlet Heart mampu memenuhi jangkaan peminat,” katanya.

Scarlet Heart arahan Kim Kyu Tae karya adaptasi drama bersiri Cina yang turut menggunakan judul sama.

Scarlet Heart versi Cina diangkat sebagai antara produksi drama romantik paling popular di Asia.

Justeru itu, tidak hairanlah mengapa versi Korea Selatan mendapat perhatian luar biasa peminat dan penggiat industri sejak kali pertama diumumkan.

Scarlet Heart berlatarkan zaman dinasti Goryeo mengisahkan gadis moden, Go Ha Jin lakonan IU terperangkap dalam tubuh gadis berusia 16 tahun, Hae Soo yang hidup pada zaman silam.

Dia terpaksa membiasakan diri sebagai Hae Soo dan berhadapan pelbagai situasi yang tidak dijangka termasuk terperangkap dalam penipuan rantaian politik.

Selain itu, Ha Jin juga berjaya menawan hati putera Raja Goryeo yang dibintangi Lee Joon Ki, Kang Ha Neul, Hong Jong Hyun, Baek Hyun (EXO, Nam Joo Hyuk dan Ji Soo.

Antara barisan pelakon lain yang turut membintangi drama ini ialah aktres popular, Kang Han Na dan juga anggota kumpulan Girl’s Generation, Seol Hyun yang memainkan watak puteri raja.

Apakah Ha Jin berjaya kembali ke zaman moden atau memilih terus menetap di Goryeo demi cinta?

Drama hebat ini bersiaran setiap Isnin dan Selasa, jam 9 malam di saluran One (Astro 393).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 1:08 PM