YOO Jung dan Hyo Seop bergabung dalam drama bersiri Lovers of the Red Sky.
YOO Jung dan Hyo Seop bergabung dalam drama bersiri Lovers of the Red Sky.
Najiy Jefri


Drama bersiri Lovers of the Red Sky yang bakal menemui penonton di platform penstriman Viu pada 30 Ogos ini antara karya yang ditunggu-tunggu penonton.

Lovers of the Red Sky adalah adaptasi daripada novel terkenal karya Jung Eun Gwol. Malah, ini juga bukan kali pertama karya Eun Gwol diangkat menjadi drama bersiri.

Sebelum ini, dua novel bertema kerajaan karya Eun Gwol menjadi drama popular iaitu Sungkyunkwan Scandal pada 2010 dan The Moon Embracing The Sun pada 2012.

Kali ini Lovers of the Red Sky lakonan mantap dua pelakon popular, Kim Yoo Jung dan Ahn Hyo Seop bakal mencetuskan fenomena luar biasa menerusi drama bertemakan cinta romantis itu pada zaman pemerintahan Dinasti Joseon.

Bagi Hyo Seop, walaupun pernah berlakon dalam satu set siri zaman Joseon sebelum ini, namun setiap naskhah yang dibintangi memberi pengalaman berbeza.

"Saya rasa drama bersejarah juga adalah fantasi kerana ia adalah era yang kita tidak pernah alami. Kita perlu melakar semuanya dalam imaginasi kita. Ada rasa ingin tahu, keterujaan dan tekanan mengenai perkara sebegitu.

"Semuanya berbeza, dari cara mereka bercakap, budaya, latar belakang era terbabit, termasuk pakaian dan gaya rambut. Hidup dalam era yang tidak pernah saya lalui sudah tentu bermasalah dan sukar buat sementara waktu, tetapi ia satu lagi peluang dan pengalaman yang menyeronokkan dan mencabar," katanya.

HYO SEOP
HYO SEOP

Melakonkan watak sebagai lelaki buta bernama Ha Ram, Hyo Seop mengakui tanggungjawab yang digalas satu cabaran yang luar biasa.

"Saya rasa agak sukar untuk menonjolkan Ha Ram secara keseluruhan. Tugas Ha Ram adalah menentukan bacaan buruj dalam biro astronomi, tetapi dia tidak boleh melihat. Namun, dia mahir dalam seni bela diri.

"Ada ketikanya saya terfikir bahawa seni bela diri untuk orang buta ini terlalu bagus sehingga ia tersasar daripada realiti, tetapi memandangkan watak Ha Ram sendiri adalah fantasi, saya banyak berusaha untuk membuktikannya pada diri saya sendiri.

"Cabaran terbesar adalah saya perlu berlakon sebagai orang buta, tetapi saya boleh melihat, jadi agak sukar untuk berpura-pura yang saya tidak boleh melihat apa yang boleh dilihat.

"Selain itu, sebenarnya apabila bercakap dengan seseorang, kita perlu melihat matanya untuk merasai kuasa atau emosi kata-kata terbabit. Tetapi, saya amat risau kerana saya tidak boleh melihat mata pelakon lain," katanya watak Ha Ram digambarkan dalam skrip sebagai seorang yang amat sempurna.

Sementara itu, pelakon popular, Kim Yoo Jung mengakui amat meminati karya tulisan Eun Gwol yang mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri.

YOO JUNG
YOO JUNG

"Ya, saya banyak membaca novel Eun Gwol kerana saya amat menyukainya. Ketika saya membaca, ia mempunyai tarikan yang membuatkan saya menyelami era dalam novel terbabit.

"Disebabkan kisahnya sendiri menarik dan menyeronokkan, saya selalu membaca buku tulisannya sebagai inspirasi dan ilmu," katanya.

Memainkan watak sebagai prodigi lukisan dengan personaliti yang ceria bernama Hong Cheon Gi, Yoo Jung mengakui watak bercanggah dengan diri sebenar, namun sedaya upaya melakonkannya.

"Ada persamaan antara Hong Cheon Gi dan saya, tetapi ada banyak perbezaan juga. Hong Cheon Gi amat aktif dan sering menggunakan apa-apa saja yang ada, tetapi realitinya ia agak berbeza daripada saya.

"Saya rasa lebih banyak berseronok ketika berlakon kerana ada beberapa babak yang berbeza daripada diri saya yang sebenar," katanya.

Lovers of the Red Sky mengisahkan Hong Cheon Gi (lakonan Yoo Jung), seorang pelukis muda yang sangat berbakat.

ANTARA babak menarik dalam drama Lovers of the Red Sky.
ANTARA babak menarik dalam drama Lovers of the Red Sky.

Dia diterima ke akademi kerajaan istana sebagai pelukis wanita pertama Joseon dan bertemu Ha Ram (lakonan Hyo Seop), jejaka buta yang mahir dalam bacaan buruj dalam biro astronomi. Dia kehilangan penglihatannya kerana kecelakaan misteri ketika masih muda.

Melihat daripada penampilan luaran Ha Ram yang tenang dan bijaksana, ada sisi gelap dalam diri dan keperibadiannya yang perlu diperhatikan.

Walaupun Hong Cheon Gi tertarik dengan Ha Ram, tetapi kehidupan di istana membataskan hubungan pasangan itu kerana mereka dikelilingi ahli politik kerajaan, termasuk Suyang (lakonan Kwak Si Yang) yang kejam dan rakus merebut kuasa, manakala Anpyeong (lakonan Gong Myung) yang lucu dan berjiwa bebas.

(Penulis menemu bual Ahn Hyo Seop dan Kim Yoo Jung eksklusif secara virtual, baru-baru ini)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 6:20 AM