TERBABIT dalam program permotoran popular Korea, Top Gear Korea musim ketujuh.
TERBABIT dalam program permotoran popular Korea, Top Gear Korea musim ketujuh.

Wataknya sebagai putera dalam drama bersiri Korea yang menjadi kegilaan sekarang, Moon Lover: Scarlet Heart Ryeo mungkin begitu romantik dan buat ramai jatuh cinta.

Bagaimanapun, Hong Jong Hyun, 26, bukanlah seperti seorang ‘putera’ sebenar kerana dalam kehidupan sehariannya dia sangat cintakan aktiviti sukan lasak.

Kini, dia terbabit dalam program permotoran popular Korea iaitu Top Gear Korea musim ketujuh.

Sebelum ini Jong Hyun lebih menyukai motosikal, namun sejak terbabit dengan rancangan itu, kereta menjadi kegilaannya sekarang.

“Saya serta-merta jatuh cinta dengan kereta selepas mencuba aksi drift. Top Gear Korea memang rancangan permotoran kegemaran saya. Saya amat berbesar hati apabila dipilih penerbit untuk menjadi sebahagian daripada program ini.

“Antara kenangan yang saya tidak boleh lupakan ialah apabila bertemu pemandu aksi drift handalan di Gunma Prefecture, Jepun. Berbeza dengan Korea Selatan, sistem pemanduan di Jepun di sebelah kanan, jadi agak sukar untuk saya menyesuaikan diri pada mulanya.

“Saya belajar secepat mungkin untuk mengendalikannya dan memang saya amat seronok sepanjang penggambaran itu,” katanya.

Menurutnya, dia bukan suka-suka membabitkan diri dalam rancangan yang berisiko tinggi itu. Banyak yang perlu dipersiapkannya sebelum menyertai penggambaran berkenaan.

“Untuk program itu, saya diberikan latihan litar dan mempelajari bagaimana pemanduan yang paling selamat. Saya juga kena mendalami banyak maklumat dan perincian mengenai kereta yang bakal saya pandu.

“Selepas saya faham dan menyesuaikan diri dengan sesebuah kereta, saya kena beritahu penonton mengenai pemanduan kereta berkenaan. Banyak masa yang saya habiskan untuk Top Gear Korea,” katanya.

Mula dikenali sebagai model dan pelakon, Jong Hyun mengakui pada awalnya agak kekok menjadi pengacara program itu.

“Ada bezanya antara lakonan dan mengacara program TV. Memandangkan menyukai kereta, saya gembira dapat melepaskan gian dalam program ini. Bagaimanapun, bercakap sambil memandu agak pelik buat saya pada mulanya tetapi perlahan-lahan saya menyesuaikan diri.

“Lakonan memang menyeronokkan namun apabila menjalani penggambaran drama atau filem, saya perlu membuat banyak latihan dan ia sangat mencabar. Apabila mengendalikan Top Gear Korea, ia tidak sesukar mana dan sepanjang prosesnya memang menyeronokkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 11:29 AM