PERKAMPUNGAN kecil Switzerland di Taman Tema Edelweiss Swiss penuh dengan aktiviti menarik.
PERKAMPUNGAN kecil Switzerland di Taman Tema Edelweiss Swiss penuh dengan aktiviti menarik.
Oleh Suliati Asri


Mahu menyaksikan panorama indah dedaun berguguran pada musim luruh dan merasai sendiri kedinginan musim sejuk dengan pemandangan indah? Gapyeong, Korea, lokasi paling tepat buat anda.

Mana tidaknya, selain dua bandar utama Seoul dan Busan yang sememangnya terkenal sebagai destinasi percutian popular di Korea, Gapyeong juga punya tarikan tersendiri yang perlu diterokai.

Gapyeong adalah satu daerah di Gyeonggi, Korea Selatan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan bersempadan dengan wilayah pergunungan Gangwon di sebelah timur.

Sungai Han mengalir melalui Gapyeong menambahkan kedamaian yang akan dirasai saat bercuti di sini.

Menerusi konsep percutian bebas dan santai (Free & Easy), anda tidak perlu bimbang akan sesat atau tidak memahami bahasa kerana ia diperkenalkan dengan konsep mesra pelancong.

Di Gapyeong, sesi lawatan menerusi ‘Free & Easy’ memang mudah dengan adanya perkhidmatan Gapyeong City Tour Bus yang melalui jalan yang memiliki daya tarikan tersendiri, antaranya kawasan perkhemahan Jarasum, Gapyeong Rail Bike, Nami Island, Petite France, Homeyeongri serta Morning Calm Arbpretum iaitu Pusat Seni Chuiong.

Mengunjungi Gapyeong, kunjungan ke Petati France juga ibarat satu kemestian. Ini kerana Petite France destinasi cukup mempesona dan dibina khusus bagi mereka yang tidak dapat berkunjung ke Perancis.

Perkampungan Perancis itu dibina bagi memboleh­kan pengunjung mengalami sendiri budaya Eropah dan seni bertemakan bintang dan bunga.

Dengan bangunan yang comel dan cantik serta pemandangan indah, Petite France membuatkan sesiapa saja mengunjunginya tidak kira kanak-kanak atau dewasa bagaikan berada di perkampungan Perancis yang mempesona.

Perkampungan Perancis ini juga lokasi paling popular dalam agenda drama Korea antaranya ‘Beethoven’, ‘Sec­ret Garden’ dan program hiburan iaitu ‘Running Man’.

Sama seperti Petite France, Taman Tema Edelweiss Swiss dibina bagi pengunjung yang ada impian ke Switzerland dan Alps Switzerland.

Terletak di kawasan berbukit di Gapyeong, di sini ada replika kampung tradisional Switzerland yang sama de­ngan di negara itu.

Berhampiran Petite France dan Pulau Nami, bangunan cantik, udara segar dan pemandangan indah ditawarkan di perkampungan ini memberikan kedamaian tersendiri.

Alami juga pelbagai aktiviti menarik yang disediakan termasuk pelbagai restoran yang menyediakan aneka menu menyelerakan.

Mempunyai pemandangan yang mempesona terutama ketika musim luruh dan sejuk, Nami Island menanti pengalaman yang mengagumkan.

Menjadi lokasi penggambaran drama cukup diminati iaitu Winter Sonata, pulau ini lokasi yang perlu dikunjungi bagi anda yang sukakan fotografi.

Gambar yang dirakam pastinya cukup cantik dengan landskap yang menarik dan pepohon meninggi.

Dengan panorama indah dan suhu dingin, Nami Island juga sesuai bagi anda yang ingin meluangkan masa bersama insan tersayang dengan pemandangan sememangnya cukup romantis.

Mahu melihat keunikan seni bina kubu yang memiliki nilai sejarah yang tinggi, Suwon Hwaseong Fortress adalah lokasinya.

Suwon Hwaseong Fortress adalah tapak bersejarah yang mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan iaitu dari Januari 1794 hingga 1796 oleh Raja Jeongjo, pemerintah ke-22 Dinasti Joseon sebagai makam ayahnya Putera Mahkota Jangheon, juga dikenali sebagai Putera Mahkota Sado.

Berkunjung ke Suwon Hwaseong Fortress, anda berpeluang melihat sendiri seni bina unik kerana penggunaan batu-bata dalam struktur kubu moden.

Kubu ini unik kerana ia menggabungkan teori pemasangan tentera Asia dan Barat untuk pertahanan. Empat pintu pagar dan 50 struktur mewujudkan karya seni yang pelbagai dan memiliki kecantikan tersendiri.

Suasana dirasai di Suwon Hwaseong Fortress yang didaftarkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1997 cukup tenang dan mendamaikan.

Di Everland pula, keseronokan berpanjangan menanti pengunjungnya. Menjadi antara empat taman tema utama di dunia, Everland adalah dunia impian dan fantasi.

Terletak di Yonginsi, taman tema ini lambang budaya hiburan dengan satu-satunya kompleks dunia safari liar di dunia, kelajuan cara di mana anda boleh melihat perlumbaan kereta dan 40 tempat tarikan terbaru.

Lebih menarik, ketika musim sambutan atau perayaan, setiap tema akan bertukar antaranya Karnival Bunga, Summer Splash, Happy Halloween, Percutian Fantasi Krismas dan banyak lagi.

Terdapat juga acara harian yang menanti anda di Everland, antaranya pertunjukan silap mata, persembahan tarian, kugiran dan banyak lagi. Lebih menarik, penginapan turut disediakan di Everland bagi anda yang ingin menghabiskan lebih masa di taman tema yang penuh keseronokan ini.

Korea Tourism Organization kini mempromosikan kempen ‘Discover Korea Your Way’ yang membolehkan anda melancong sendirian dengan konsep ‘Free & Easy’.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi ini, layari www.visitkorea.com.my. Anda juga boleh menebus edisi terhad Korea Tourism Organization T-Money Card dan buku kupon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 5:34 AM