ANTONIO Guterres. FOTO AFP
ANTONIO Guterres. FOTO AFP
Bernama-Wafa

New York: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Jumaat mengumumkan beliau akan menghantar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap serangan Israel ke atas Rafah kepada Majlis Keselamatan PBB.

Jurucakap Setiausaha Agung itu Stephane Dujarric memberitahu wartawan bahawa Guterres akan menghantar notis langkah sementara yang diarahkan ICJ kepada Majlis Keselamatan untuk tindakan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Dujarric berkata Guterres menekankan "keputusan mahkamah itu adalah mengikat dan yakin pihak terlibat akan mematuhi arahan mahkamah itu," katanya.

Berikutan rayuan Afrika Selatan, ICJ membuat keputusan berdasarkan undi 13-2 bahawa Israel mesti menghentikan serangan tenteranya dan langkah-langkah lain di Rafah dengan segera dan membuka laluan sempadan Rafah untuk penghantaran bantuan kemanusiaan di semenanjung itu yang dikepung.

ICJ juga mengarahkan Israel supaya memastikan akses sepenuhnya suruhanjaya atau badan siasatan yang mendapat mandat PBB untuk menyiasat dakwaan berlakunya genosid dan melaporkan kepada mahkamah itu kemajuannya dalam melaksanakan langkah itu.

Perintah ICJ mengikat dari segi undang-undang tetapi kekurangan mekanisme untuk penguatkuasaan, selain tiada ketetapan atau gesaan dibuat pada Jumaat supaya satu gencatan senjata menyeluruh dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 12:30 PM