Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Melaksanakan ibadah haji secara sendiri atau 'DIY' tanpa panduan berpengalaman boleh meningkatkan risiko keselamatan dan kesihatan.

Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) Selangor Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum berkata, agensi haji biasanya menyediakan perkhidmatan perubatan, bantuan kecemasan dan perlindungan insurans yang dapat membantu dalam situasi kritikal.

Menurutnya, pelaksanaan haji secara DIY tanpa persiapan dan bimbingan yang mencukupi boleh membawa kepada pelbagai masalah jangka panjang yang mempengaruhi aspek spiritual, kesihatan, keselamatan dan sosial.

"Oleh itu, adalah penting bagi jemaah untuk mempertimbangkan dengan serius semua aspek ini dan mencari bantuan yang diperlukan untuk memastikan ibadah haji mereka dilaksanakan dengan sempurna dan selamat.

"Paling penting dalam menunaikan ibadat ini adalah ketenangan dan apakah maknanya kita melaksanakan ibadat tanpa ketenangan," katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) berkata, agensi haji biasanya mempunyai pengalaman yang luas dan pengetahuan mendalam tentang prosedur, rukun dan tatacara serta hukum hakam berkenaan manasik haji.

Menurutnya, tanpa bimbingan mereka, jemaah mungkin berdepan kesukaran untuk memenuhi syarat-syarat dan rukun haji dengan betul.

Pada masa sama, katanya, terdapat risiko keselamatan serta kesihatan, agensi haji bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan perubatan, bantuan kecemasan dan perlindungan insurans yang dapat membantu dalam situasi kritikal.

"Selain itu, menguruskan logistik seperti penginapan, pengangkutan dan makanan boleh menjadi rumit tanpa bantuan agensi.

"Ini boleh mengakibatkan jemaah mengalami kesulitan untuk mendapatkan kemudahan yang diperlukan, terutama semasa puncak musim haji.

"Agensi haji juga sering menyediakan bimbingan rohani dan sokongan semasa menjalankan ibadah termasuk ceramah, kursus dan khidmat nasihat," katanya.

Katanya, tanpa sokongan ini, jemaah mungkin berasa kurang bersedia atau keliru semasa melaksanakan ibadah haji dan paling dibimbangi tentang keabsahan ibadah haji yg dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 12:02 PM