Bendera Palestin
Bendera Palestin
BERNAMA

Kuching: Penyediaan saluran sementara Malaysia4Palestine yang bersiaran selama 24 jam, menunjukkan pendirian Malaysia yang konsisten serta jelas dalam memberi sokongan kepada rakyat Palestin yang ditindas oleh Israel, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, menerusi siaran berkenaan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro, ia diharap dapat membuka mata lebih banyak pihak khususnya negara yang masih enggan menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin, yang sejak sekian lama menjadi mangsa keganasan rejim zionis Israel.

"Usaha 24 jam siaran Malaysia4Palestine ini saya terima dengan baik, ia satu usaha yang cukup murni. Jadi saya lihat kita perlu terus memberi sokongan, menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin terutama di saat ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 Bersama Siswa di sini, hari ini.

Semalam, Astro dan RTM dalam kenyataan memaklumkan bahawa stesen televisyen berkenaan menyediakan saluran sementara Malaysia4Palestine selama 24 jam, yang didedikasi untuk mengetengahkan krisis kemanusiaan di Palestin.

Saluran Malaysia4Palestine akan menampilkan temu bual, persembahan khas dan dokumentari, dalam mengetengahkan nasib rakyat Palestin.

Program Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa merupakan antara pengisian sambutan Hawana tahun ini, dengan pembabitan 250 mahasiswa dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Swinburne University of Technology Sarawak dan Kolej SEGi Sarawak.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi terpilih terhadap dunia media, melalui sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pengamal media, selain menanam minat bidang kewartawanan kepada pelajar dan mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan.

Pada program hari ini, sesi perkongsian ilmu dan pengalaman turut diadakan dengan membincangkan topik berkenaan semak fakta oleh Editor MyCheck Malaysia dan Unit Data Journalism Pertubuhan Berita Nasionlal (Bernama) Sakina Mohamed dan Mobile Journalism (MoJO) oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman, selain sesi dialog bersama Menteri Komunikasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 12:48 PM