TANGKAP layar video Green tekun menulis di buku latihannya di dalam kelas sambil menyusukan adiknya. FOTO Agensi
TANGKAP layar video Green tekun menulis di buku latihannya di dalam kelas sambil menyusukan adiknya. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Video di media sosial memaparkan seorang murid perempuan Gred 5 sedang belajar di dalam kelas sambil meriba adiknya yang sedang menyusu botol meruntun jiwa jutaan penduduk Thailand.

Portal The Thaiger melaporkan ketabahan murid berkenaan yang mampu mengimbangi tuntutan melunaskan tugas semasa belajar di sekolah sambil mengasuh adiknya sangat menyentuh hati penonton.

Klip berdurasi 20 saat itu yang kini tular memaparkan seorang murid digelar Green sedang tekun menulis pada buku latihannya dengan tangan kanan sambil meriba adik perempuannya yang berusia setahun di lengan kirinya.

Bayi kecil comel itu kelihatan sedang menyusu dari botol susunya dan merenung kakaknya dengan kagum.

Adegan yang menyentuh hati berlaku di Sekolah Ban Klong Kaem Cham dirakamkan seorang guru yang penuh belas kasihan sebelum disiarkan di TikTok @Yingggzz.

"Dia adalah kakak sulung dalam keluarganya. Mamanya sibuk menjalankan tugas. Ini lebih baik daripada ponteng sekolah untuk jaga adik kan?

"Saya tidak pasti perasaan guru lain, tetapi saya selalu beritahu pelajar saya supaya tidak ponteng kelas… dan dia benar-benar melakukannya.

"Nasib baik adik kecilnya itu tak nakal di kelas," kata guru itu.

Ruangan komen dibanjiri sokongan dan pujian daripada netizen dengan ramai yang memuji ketabahan serta kemahiran berbilang tugas Green, lapor Thai PBS World.

"Dia sangat tabah, menulis dengan sebelah tangan dan memegang adik kecilnya di tangan yang lain."

Sementara yang lain memuji guru itu kerana empatinya, memuji keputusannya membenarkan adik perempuan Green untuk bersama-sama di dalam kelas ketika murid itu sedang belajar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 12:09 PM