Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbrückner  pada  perlawanan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - FOTO Ghazali Kori.
Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbrückner pada perlawanan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - FOTO Ghazali Kori.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Wajah ceria mengiringi pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner selepas aksi yang diinginkan berjaya diterjemahkan anak buahnya malam tadi.

Lebih menggembirakan jurulatih kelahiran Croatia itu apabila 'barisan kedua' pemainnya berjaya mendominasi permainan sehingga skuad Kelantan Darul Naim (KDN) FC tersungkur pada aksi ketiga Liga Super malam tadi.

Justeru bekas pemain import kelab Singapore Armed Forces Football Club (SAFFC) dalam Liga Singapura itu mahukan anak buahnya mengekalkan momentum itu terutama dalam saingan Piala FA yang bakal bermula tidak lama lagi.

"Saya sangat berpuas hati dengan persembahan pemain pada malam ini (malam tadi). Mereka beraksi kelihatan jauh lebih baik berbanding dua perlawanan sebelum ini ketika berdepan Perak FC dan Penang FC.

"Kami gembira bukan disebabkan TFC berjaya mengutip tiga mata penuh, tapi peluang yang kami cipta termasuk bagaimana membina, bermain dan menguasai permainan, ini yang menggembirakan, inilah corak permainan yang kami inginkan.

"Secara keseluruhannya saya gembira dan berpuas hati, tapi kami harapkan momentum ini tidak terhenti sebaliknya perlu terus ditingkatkan lagi pada kali ini sehingga tahun depan," kata Steinbruckner ketika ditemui selepas tamat perlawanan berdepan pasukan jiran itu.

Pada perlawanan yang memihak kepada TFC dengan kemenangan 3-0, skuad Penyu bermula garang meledak dua gol pada babak pertama menerusi sepakan penalti Ismaheel Akinade dan gol padang Nurillo Tukhtasinov sebelum seorang lagi pemain import, Manuel Ott melengkapkan malam gemilang skuad itu.

Bagaimanapun jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' meletakkan harapan yang tinggi supaya lima pemain tonggaknya cepat pulih daripada kecederaan yang dialaminya.

"Ivan Mamut, Azam Azmi, Mathew Steenvoorden, Suhaimi Husin dan Argzim Redzovic masih lagi berehat akibat kecederaan, tapi saya mengharapkan mereka cepat sembuh bagi memperkasakan lagi pasukan," katanya.

Terkini selepas tiga perlawanan, buat kali pertama TFC menghuni di puncak liga dengan mengutip tujuh mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 12:04 PM