MASJID Diraja Ubudiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. FOTO Bernama
MASJID Diraja Ubudiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. FOTO Bernama
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Khutbah Jumaat di Perak yang dibacakan di masjid dan surau diri Jumaat (SDJ) seluruh negeri semalam menjadi 'trending' (sohor kini) di media sosial susulan isu diutarakan berkaitan amalan boikot atau memulaukan perniagaan tertentu yang dianggap bertentangan prinsip keadilan.

Khutbah bertajuk "Menghayati Keadilan Sejagat Dalam Kehidupan Bernegara" yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu dilihat agak berani menongkah arus dengan mesej bahawa tindakan boikot harus dihentikan, sehingga ianya menjadi perbincangan ramai di Internet.

Khutbah berkenaan turut memetik pandangan Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh yang pernah menyuarakan pandangan isu boikot agar ia harus dihentikan dengan hujah bahawa perbuatan sebegitu berlawanan dengan keadilan Islam.

Teks khutbah itu turut memuatkan kisah yang juga pernah dinukilkan oleh Wan Zahidi berkaitan isu boikot sebelum ini iaitu kisah Thumamah bin Uthal iaitu sahabat Rasulullah pada asalnya adalah ketua Qabilah Yamamnah yang ditawan oleh tentera diutus Rasulullah SAW dan dibawa ke Madinah.

"Sahibus Samahah Mufti Perak, menyuarakan pandangan isu memboikot atau memulau perniagaan tertentu harus dihentikan dengan hujah bahawa perbuatan itu berlawanan dengan keadilan Islam. Beliau berpandangan, boikot yang dilakukan ketika ini, tidak menepati sunnah baginda (Rasulullah) SAW.

"Dan (ia) boleh menjerumuskan kepada berlakunya kezaliman. Lebih parah apabila isu ini disensasikan tanpa landasan ilmu dan tanpa hujah yang benar, hingga menyemarakkan sentimen atau perasaan benci dan marah," kata petikan teks khutbah berkenaan.

Khutbah itu juga menambahkan dengan memetik pandangan dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bahawa isu boikot harus dilihat berdasarkan neraca keadilan dan juga melihat kepada aspek maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan) secara mendalam.

"Adakah tindakan yang dilakukan itu adil dan benar, dan adakah tindakan memboikot itu mendatangkan kebaikan atau sebenarnya mengundang lebih banyak mudarat.

"Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyeru semua pihak agar mengambil berat kenyataan Mufti Negeri Perak, supaya isu ini tidak menjadi semakin keruh hingga merugikan semua pihak," kata khutbah berkenaan.

Khutbah terbabit menambahkan, hakikat yang wajib difahami adalah umat Islam dan bukan Islam di negara ini saling memerlukan dan justeru sebarang ketidakadilan dan keburukan yang menimpa satu pihak, akan memberi kesan kepada pihak yang satu lagi.

"Justeru, penting disemaikan semangat saling hormat menghormati dan amalan saling bantu membantu sesama kita, kerana dakwah Islamiah memerlukan suasana tenang dan damai, serta hubungan harmoni antara kaum yang menganut pelbagai agama," katanya

Khutbah sama turut memetik pandangan yang disandarkan kepada beberapa penganalisis ekonomi yang berpendapat pendekatan boikot bersifat reaktif, berasaskan emosi dan tidak menyelesaikan masalah sebenar dengan ia hanya akan menyebabkan perniagaan yang disasarkan mengalami penurunan jualan, keuntungan, malah rugi.

Sebagai akibatnya, menurut khutbah berkenaan adalah gaji pekerja terpaksa dikurangkan dan lebih malang apabila urus niaga terpaksa ditutup, pekerja hilang pekerjaan malah dilaporkan ramai pekerja dan majoritinya adalah pekerja beragama Islam yang terjejas susulan tindakan boikot.

"Langkah memboikot premis jualan dan jenama tertentu boleh memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara, kerana syarikat-syarikat yang terbabit antara pembayar zakat dan cukai di Malaysia.

"Dikhuatiri, boikot yang berasaskan emosi, tanpa perancangan rapi, berkemungkinan turut meruntuhkan ekonomi orang Islam sendiri yang terbabit dalam rangkaian pembekalan, pengedaran, pemasaran, pengurusan, urus niaga dan pekerjaan.

"Malah, usaha negara untuk menarik pelabur, dan kedudukan negara sebagai negara perdagangan dan destinasi pelaburan turut terjejas. Berkurangnya pelaburan, bermakna berkurang juga urus niaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 12:23 PM