Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Subang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat QZ8501 akan diteruskan oleh aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga semua serpihan dan mangsa ditemui.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, aset yang terbabit dalam pencarian pesawat itu sehingga kini masih meneruskan operasinya yang dikoordinasi pihak berkuasa Indonesia.

Beliau berkata, penambahan aset ketenteraan dalam SAR pesawat berkenaan juga bergantung kepada permintaan kerajaan negara terbabit.

"Sehingga kini semua aset yang dihantar sedang giat menjalankan operasi SAR di kawasan yang dikenal pasti dan ianya akan diteruskan sehingga semua serpihan dan mangsa ditemui," katanya dalam sidang media di Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir, di Pangkalan Udara, di sini, sebentar tadi.

Tiga kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyertai SAR iaitu KD Pahang, KD Lekir dan KD Lekiu bersama sebuah pesawat helikopter Fennec.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 3:57 PM