Lumut: “Saya dan anak kapal bangga kerana dapat melaksanakan amanah diarahkan sepanjang menyertai misi mencari dan menyelamat pesawat QZ8501 terhempas di Indonesia.

“Selain membantu pihak berkuasa Indonesia mengesan lokasi pesawat, kami juga menemui beberapa mangsa,”” kata Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Kasturi Kapten Sharoom Shaim, 51. pada Majlis Sambutan Kepulangan Kapal KD Kasturi di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, semalam.

Hadir sama, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan pegawai kanan TLDM.

Menurutnya, misi berkenaan yang pertama sejak mengambil alih tugas sebagai pegawai memerintah pada November lepas.

“Kerja mengambil mayat agak sukar kerana pada masa ketibaan KD Kasturi 4 Januari lalu, hari kelapan pesawat itu hilang dari radar dan keadaan mayat mangsa tidak sempurna serta membengkak.

“Penemuan pertama kami pada 5 Januari, jam 10 pagi waktu Indonesia ialah dua mayat yang terikat di kerusi pesawat. Keadaan laut bergelora menyukarkan kami untuk mengambil mayat itu,” ” katanya.

Abdul Aziz berkata, sepanjang 17 hari menyertai misi itu, TLDM menugaskan lima kapal Iaitu KD Pahang, KD Lekiu, KD Lekir, KD Kasturi dan KD Perak serta helikopter Fennec.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:18 AM