Para pengunjung melihat pelbagai jenis helikopter yang dipamerkan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. FOTO BERNAMA
Para pengunjung melihat pelbagai jenis helikopter yang dipamerkan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berhasrat untuk menambah aset helikopter yang mempunyai keupayaan peperangan anti kapal selam dan berteknologi baharu berbanding helikopter AS555SN Fennec.

Panglima Udara TLDM Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar berkata, helikopter AS555SN Fennec tidak lagi dikeluarkan buat masa ini dan cawangan udara TLDM akan melihat kepada aset helikopter yang bersesuaian pada masa akan datang sebagai perancangan jangka panjang.

Beliau memberitahu kepada pemberita hari ini selepas majlis penyampaian anugerah bagi meraikan rekod cemerlang operasi penerbangan Skuadron 502 dengan mencatatkan rekod pencapaian 20,000 jam penerbangan oleh helikopter AS555SN Fennec.

Majlis berlangsung di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 yang bermula pada Isnin di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Pemasaran Asia Pasifik Airbus Helicopters Fabrice Rochereau kepada Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM Komander Fairul Mohd Shukor dan disaksikan oleh Ahmad Shafirudin.

Ahmad Shafirudin berkata Skuadron 502 TLDM yang terdiri daripada enam helikopter AS555SN telah berkhidmat semenjak tahun 2004 dan berfungsi sebagai helikopter latihan serta menyokong operasi penerbangan.

"Pencapaian 20,000 jam penerbangan dapat dicapai setelah kami menggunakannya dalam pelbagai operasi, termasuk tugasan untuk menjayakan Ops Fajar di perairan Somalia serta pelbagai latihan di peringkat dua hala (bilateral) dan pelbagai hala (multilateral)," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 6:00 PM