ANGGOTA TNI menunda mayat selepas ditemui terapung jauh di Laut Jawa.
ANGGOTA TNI menunda mayat selepas ditemui terapung jauh di Laut Jawa.

Kuala Lumpur: Misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang masuk hari kelima semalam disifatkan semakin sukar dan terjejas kerana keadaan cuaca dan laut bergelora serta angin kencang.

Keadaan cuaca buruk itu menyebabkan semua mayat mangsa dan serpihan pesawat dihanyutkan lebih jauh daripada lokasi penemuan mayat serta serpihan objek tiga hari lalu.

Halangan cuaca turut membantutkan perancangan pasukan SAR yang dikerah ke lokasi penemuan sembilan mayat mangsa dan puluhan serpihan objek pesawat ditemui iaitu di perairan di antara Selat Karimata dan Laut Jawa.

Sekalipun pasukan penyelam dari komando Indonesia sudah sedia untuk melakukan penyelaman di lokasi yang dikenal pasti dengan bantuan negara luar namun tugas menyelam belum mampu dilakukan.

Menurut ramalan cuaca, hujan lebat, angin kencang antara 15 dan 40 knot dan ombak setinggi 2.5 meter hingga empat meter itu dijangka berlaku hingga Ahad ini di kawasan perairan itu.

Portal berita Detiknews melaporkan keadaan cuaca buruk menyebabkan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) akan memperluaskan kawasan pencarian mangsa nahas hingga ke Laut Jawa.

Ketua Jabatan Operasi, Mejar Cahyo berkata, tumpuan pencarian kini bukan sekadar di perairan Selat Karimata, tetapi turut membabitkan kawasan Laut Jawa.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar melalui Twitternya memberitahu, jarak penglihatan juga terlalu terhad hingga hanya lima batu nautika.

Sebelum itu, Abdul Aziz memaklumkan kawasan pencarian yang ditetapkan untuk KD Pahang adalah di sektor 2 sementara KD Lekir dan Lekiu di sektor 4.

Abdul Aziz juga memaklumkan sebuah helikopter turut disediakan KD Lekiu untuk misi menyelamat.

Katanya, kawasan pencarian juga diperluaskan kepada 13,500 batu nautika pada Khamis berbanding 6,160 batu nautika pada hari sebelumnya.

Melalui Twitternya, Abdul Aziz turut menunjukkan gambar laut bergelora yang dirakam daripada kapal KD Lekiu, sekali gus menjejaskan kelancaran operasi pencarian semalam.

“Sektor utara dibahagi kepada dua bahagian iaitu sektor yang dipantau TLDM. Sektor yang terdekat dengan Pontianak, Kalimantan pula dipantau Tentera Laut Singapura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 10:03 AM