Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Tujuh sektor pencarian telah diwujudkan bagi mengesan pesawat Air Asia Indonesia QZ 8501 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura semalam.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang dilantik sebagai Penyelaras Koordinasi SAR Malaysia berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah diaktifkan sebaik kehilangan pesawat itu dan SAR dikoordinasikan oleh Badan SAR Nasional (BASARNAS), Indonesia yang berpusat di Surabaya.

Katanya, operasi pencarian di laut diketuai oleh Laksamana Pertama Rashid Kacong TNI-AL, Komandan Gugusan Keamanan Laut Barat (GUSKAMLABAR).

"Selain aset-aset maritim Indonesia, negara lain yang terlibat adalah Malaysia, Singapura dan Australia manakala India sudah menyatakan kesediaan mengaturgerak aset udaranya pada bila-bila masa.

"Sebanyak tiga buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah dikerah untuk menyertai SAR iaitu KD PAHANG, KD LEKIR dan KD LEKIU bersama sebuah pesawat helikopter Fennec dan kapal berkenaan sedang dalam pelayaran ke sektor pencarian yang sudah ditetapkan oleh BASARNAS," katanya dalam kenyataan, tadi.

Menurutnya, KD PAHANG yang diperintah oleh Komander Fadhil Abd Rahman kini menghampiri sektor pencarian dan sudah berada di sektor pencarian pada jam 2 petang hari ini manakala KD LEKIR dan KD LEKIU akan menyertai KD PAHANG seawal pagi esok.

"Selain itu, usaha pencarian di laut oleh TLDM akan turut dibantu oleh sebuah pesawat Hercules C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pesawat dijangka memasuki sektor pencarian yang dikhaskan untuk aset udara pada bila-bila masa hari ini.

" Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia bagi memastikan segala bentuk bantuan yang diperlukan diatur gerak dengan kadar segera selaras dengan semangat setiakawan ASEAN yang sedia terjalin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 4:27 PM