Kuala Lumpur: Pengalaman mengharungi Lautan Hindi April lalu bagi menjejaki pesawat MH370 memastikan Kapal Diraja (KD) Lekiu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekali lagi diarah menyertai misi mencari pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang dipercayai terputus hubungan kelmarin.

Kapal itu yang membawa lebih 150 anak kapal itu memulakan misi ke Laut Jawa jam 9 pagi semalam selepas berlayar dari Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang dilantik sebagai Penyelaras Koordinasi SAR Malaysia berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah diaktifkan sebaik kehilangan pesawat komersial itu.

Katanya, misi SAR diketuai Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Indonesia yang berpusat di Surabaya.

“Operasi pencarian di laut diketuai Komandan Gugusan Keamanan Laut Barat (GUSKAMLABAR) Laksamana Pertama Rashid Kacong.

”Tujuh sektor pencarian diwujudkan bagi mengesan pesawat QZ 8501 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pagi kelmarin,” katanya.

Selain aset-aset maritim Indonesia, negara lain yang terbabit dalam misi itu adalah Singapura dan Australia.

“India pula sudah menyatakan kesediaan mengatur gerak aset udaranya pada bila-bila masa.

“Sebanyak tiga kapal TLDM dikerah untuk menyertai SAR iaitu KD Pahang, KD Lekir dan KD Lekiu bersama sebuah pesawat helikopter Fennec. Semua kapal berkenaan sedang dalam pelayaran ke sektor pencarian yang ditetapkan oleh BASARNAS,” katanya.

Menurutnya, KD Pahang yang diketuai Komander Fadhil Abd Rahman kini menghampiri sektor pencarian dan sudah berada di sektor pencarian pada jam 2 petang semalam.

“Manakala KD Lekir dan KD Lekiu akan menyertai KD Pahang awal pagi ini.

“Selain itu, usaha pencarian di laut turut dibantu sebuah pesawat Hercules C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.

Menurutnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia bagi memastikan segala bentuk bantuan diperlukan diatur gerak dengan kadar segera selaras dengan semangat setiakawan ASEAN yang sedia terjalin,” katanya.

Difahamkan usaha pencarian pesawat Air Asia Indonesia itu tertumpu usaha mencari serpihan sebarang objek serta tumpahan minyak dipercayai milik pesawat itu.

Pencarian turut dilakukan terhadap kemungkinan terdapat mangsa yang terselamat atau terapung di permukaan laut sekiranya pesawat itu terhempas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 8:24 AM