LEWANDOWSKI (kiri) cuba dihalang pemain Augsburg Kevin Danso.
LEWANDOWSKI (kiri) cuba dihalang pemain Augsburg Kevin Danso.
AFP

Berlin: Jaringan hatrik Robert Lewandowski kelmarin membolehkannya berada dalam saingan sebagai penjaring terbanyak Bundesliga musim ini dan bintang Bayern Munich dari Poland itu terus cemerlang buat kelab dan negaranya.

Penyerang berusia 28 tahun itu menjaringkan hatrik keempatnya buat Bayern musim ini sewaktu membelasah Augsburg 6-0 dalam aksi luar biasa yang turut menyaksikannya mencipta peluang buat Thomas Mueller dan Thiago Alcantara.

“Dia menjaringkan tiga gol dan membantu dua jaringan, apa lagi yang boleh saya katakan mengenainya,” kata jurulatih Bayern Carlo Ancelotti.

“Saya gembira memiliki penyerang yang menjaringkan gol dalam hampir setiap perlawanan.”

Lewandowki menjaringkan lapan gol dalam lima perlawanan untuk Poland pada musim 2016-17 selain menjaringkan 36 gol buat Bayern dalam semua pertandingan.

Jaringan hatriknya ke atas Augsburg hadir selepas menjaringkan gol sewaktu menewaskan Montenegro 2-1 Ahad lalu dan memberikan kelebihan enam mata buat Poland dalam kelayakan Piala Dunia.

Dia kini berkongsi 24 jaringan Bundesliga dengan bintang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang dalam misi mempertahankan gelaran penjaring terbanyak Jerman.

Peledak bertubuh tegap diberi gelaran ‘The Body’ di Bayern kini dalam landasan tepat mencipta nama antara penjaring gol terbaik dunia.

Bentuk tubuh tegapnya terhasil menerusi diet khusus yang mana isterinya Anna, bekas atlet karate Poland yang kini hamil menjadi jurulatih peribadinya.

“Dia pemain paling profesional pernah saya temui,” ujar Pep Guardiola, jurulatih di Bayern sebelum Ancelotti.

“Dalam fikirannya, dia hanya memikirkan mengenai makanan yang betul, tidur dan latihan: 24 jam sehari.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 10:33 AM