PEMAIN Real menjulang trofi Piala Super UEFA selepas menumpaskan Eintracht 2-0. FOTO AFP
PEMAIN Real menjulang trofi Piala Super UEFA selepas menumpaskan Eintracht 2-0. FOTO AFP
Reuters

Helsinki: Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui sukar untuk berada pada prestasi terbaik ketika memulakan musim baru namun kemenangan 2-0 ke atas Eintracht Frankfurt dalam aksi Piala Super UEFA memberi petanda positif buat mereka.

Gol pada separuh masa pertama melalui David Alaba dan satu lagi daripada Karim Benzema pada minit ke-65 yang membolehkan dia menjadi penjaring gol kedua terbanyak sepanjang zaman Real, membantu kelab Sepanyol itu meraih trofi pertama musim ini.

Juara Liga Europa, Eintracht cuba memberi tentangan pada separuh masa pertama dan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi akhirnya dikuasai oleh Real.

Kemenangan itu juga bermakna Ancelotti menjadi jurulatih pertama menjulang trofi berkenaan sebanyak empat kali.

"Eintracht berjaya memberi tentangan dan kami berdepan kesukaran untuk mencari rentak. Bagaimanapun, selepas itu kami bermain dengan baik.

"Ia sukar untuk memulakan musim baru pada tahap terbaik namun sekarang ini kami bermula dengan baik," kata Ancelotti.

Pengendali kelahiran Itali itu, yang membariskan 11 pemain yang sama ketika final Liga Juara-Juara di Paris Mei lalu, memberi pujian istimewa untuk kapten, Benzema, penjaring terbanyak musim lalu dalam Liga Juara-Juara.

"Dia pemain yang sangat penting, ketua pasukan. Jika kami berada di sini, ia adalah kerana jasanya, dia menjaringkan banyak gol, dia menamatkan musim lalu dengan baik, dia menjaringkan gol hari ini dan kini dia akan memenangi anugerah Ballon d'Or," kata Ancelotti.

Eintracht beraksi tanpa perancang, Filip Kostic yang hampir berpindah ke Juventus, tetapi kelihatan lebih berdisiplin berbanding kekalahan 1-6 kepada Bayern Munich minggu lalu dalam aksi pembukaan Bundesliga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 10:52 AM