LEWANDOWSKI (kiri) jaring penalti buat Bayern.
LEWANDOWSKI (kiri) jaring penalti buat Bayern.
AFP

Berlin: Robert Lewandowski meledak hatrik ketika pendahulu Bundesliga Bayern Munich membelasah Hamburg 8-0 di Arena Allianz semalam untuk perlawanan ke-1,000 Carlo Ancelotti sebagai jurulatih.

Kingsley Coman selaku pemain simpanan menjaringkan dua gol manakala Arturo Vidal, David Alaba dan Arjen Robben turut menggegar gawang lawan ketika Bayern kembali mencatat rentak kemenangan selepas seri 1-1 di Hertha Berlin hujung minggu lalu.

Mereka kekal lima mata mendahului RB Leipzig di tangga kedua yang menang 3-1 ke atas Cologne.

Penyudah Hamburg dalam kunjungan mereka ke Bavaria bagaikan sudah dijangka apabila mereka bolos 36 gol dalam enam perlawanan menentang Bayern di tempat lawan.

Mereka tewas 0-5 dua kali, 0-6, 0-8 dan diaibkan 2-9 pada Mac 2013.

Vidal membuka jaringan dan penalti Lewandowski menggandakan kelebihan Bayern pada pertengahan separuh masa pertama dan pemain Poland itu menjadikan kedudkan 3-0 sebelum tamat separuh masa selepas percubaan Douglas Costa berjaya diselamatkan.

Lewandowski menjaringkan hatrik kelima sejak awal musim lalu dengan menyempurnakan hantaran Robben awal separuh masa kedua untuk gol liga ke-19 sepanjang kempen ini.

Dia kemudiannya bergandingan dengan Thomas Mueller untuk membantu Alaba meledak gol kelima dan penderitaan Hamburg masih belum berakhir biarpunn pemain Poland itu dikeluarkan.

Pemain Perancis, Coman dibawa masuk dan menjaringkan dua gol sebelum bintang Belanda Robben mengesahkan kemenangan pada hari bersejarah buat Ancelotti, 57.

Selepas perlawanan itu Ancelotti ternyata berpuas hati dengan prestasi pasukan. “Hari sempurna, permainan sempurna. Pasukan hebat dan saya berpuas hati,” kata Ancelotti.

Beliau turut memuji Muller, yang membantu jaringan Bayern namun gagal menjaringkan gol. “Thomas pemain utama kami hari ini. Pemain terbaik di padang. Dia terbabit dalam setiap serangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 8:16 AM