ROBERT Lewandowski berpeluang mengatasi rekod Mueller. FOTO AFP
ROBERT Lewandowski berpeluang mengatasi rekod Mueller. FOTO AFP
AFP

Berlin: Robert Lewandowski berpeluang memecahkan rekod jaringan semusim milik Gerd Mueller yang bertahan selama 49 tahun apabila juara Bundesliga, Bayern Munich bakal beraksi di depan penyokong mereka buat kali pertama sejak Mac tahun lalu, esok.

Jaringan penyerang Poland itu menerusi sepakan penalti ketika Bayern seri 2-2 dengan Freiburg menyaksikannya menyamai rekod 40 gol milik Mueller untuk tempoh semusim kempen Bundesliga 1971/72.

Dengan berbaki satu perlawanan lagi, Lewandowski yang dinobatkan penjaring terbanyak Bundesliga kali keenam dalam tempoh lapan tahun, berpeluang memperbaharui rekod itu apabila bertemu Augsburg esok.

"Saya rasa dia akan menjaringkan dua gol pada minggu ini dan memecahkan rekod," demikian ramalan bekas penyerang Bayer Leverkusen, Ulf Kirsten, 55, yang dinobatkan penjaring terbanyak Bundesliga sebanyak tiga kali ketika era 1990-an.

"Bagaimanapun, saya harap rekod itu akan kekal kerana Gerd Mueller adalah idola saya."

Selepas mengesahkan kejuaraan liga buat kali kesembilan berturut-turut, Bayern akan menjulang trofi Bundesliga selepas tamat perlawanan.

Mereka juga akan mengucapkan selamat tinggal kepada jurulatih, Hansi Flick yang dikaitkan akan mengambil alih tugas selaku jurulatih Jerman selepas Euro 2020.

Jerome Boateng dan David Alaba yang kontrak mereka tidak disambung, juga akan membuat penampilan terakhir selepas lebih satu dekad bersama Bayern.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 10:25 AM