LEWANDOWSKI (kanan) dicabar pemain Dortmund.
LEWANDOWSKI (kanan) dicabar pemain Dortmund.
AFP

Berlin: Robert Lewandowski menjaringkan gol ke-12 dalam empat aksi ketika pendahulu Bundesliga Bayern Munich membelasah pasukan di tangga kedua, Borussia Dortmund 5-1, sekali gus menjarakkan diri dengan kelebihan tujuh mata, kelmarin.

Bintang Poland itu menjaringkan gol ketiga Bayern yang juga jaringan keempatnya di Allianz Arena. Thomas Mueller meledak dua jaringan termasuk penalti pada babak pertama sebelum Mario Goetze menghasilkan gol kelima Bayern.

“Ia kemenangan yang besar. Memang seronok mendapat kelebihan tujuh mata dan gaya kami ketika menang juga hebat,” kata Mueller.

“Tapi, kami tidak boleh leka dan perlu terus mengutip mata selepas tempoh rehat antarabangsa nanti.”

Selepas memecahkan rekod Bundesliga dengan meledak lima gol dalam tempoh sembilan minit ketika mengalahkan Wolfsburg 5-1 kurang dua minggu lalu, Lewandowski pasti muncul sebagai penjaring dalam setiap perlawanan termasuk hatrik ketika menang 5-0 ke atas Dinamo Zagreb pada saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu.

Lewandowski kini muncul penjaring terbanyak Bundesliga dengan 12 jaringan sambil diekori penyerang Gabon Pierre-Emerick Aubameyang yang mengumpul 10 gol dalam lapan perlawanan.

Dortmund berdepan kekalahan pertama sepanjang 15 perlawanan sejak dibimbing jurulatih Thomas Tuchel.

Perbezaan antara Bayern dengan pasukan lain mula ketara dalam usaha Pep Guardiola untuk meraih gelaran liga buat kali keempat berturut-turut.

“Kami agak bergelut pada 15 minit pertama, tapi gol ketiga mengubah keadaan,” kata Guardiola.

“Kami gembira kerana dapat mengalahkan salah satu pasukan terbaik di Eropah.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 6:33 AM