RIBERY (tiga dari kanan) menggantikan Muller selepas Bayern ketinggalan 0-1.
RIBERY (tiga dari kanan) menggantikan Muller selepas Bayern ketinggalan 0-1.
AFP

BERLIN: Carlo Ancelotti mengakui Bayern Munich tersalah langkah ketika tewas 0-2 di Hoffenheim awal pagi tadi dan meletakkan mereka di kedudukan kelima Bundesliga, kedudukan paling bawah mereka sejak 2014.

Penyerang Mark Uth menjaringkan kedua-dua gol Hoffenheim ketika ketua jurulatih Bayern, Ancelotti seolah-olah dihukum kerana menukar skuadnya menjelang pertemuan Liga Juara-Juara di laman sendiri bertemu Anderlecht awal pagi Rabu ini.

ANCELOTTI (kiri) akui tersilap percaturan.
ANCELOTTI (kiri) akui tersilap percaturan.

Juara bertahan itu tewas walaupun menguasai 72 peratus pegangan bola dan mencipta 23 percubaan tepat ke gol manakala Hoffenheim menjaringkan dua gol daripada hanya enam percubaan.

“Perkara kecil menjadikan ia berbeza dan kami ketinggalan kerana kami tidak fokus,” ujar Ancelotti.

“Ia perkara yang sama untuk gol kedua, menjadikan ia lebih sukar.

“Kami ada banyak peluang tapi kami tidak menggunakannya dan tidak memberi tumpuan 100 peratus.

“Hoffenheim hanya masuk ke dalam kotak penalti tiga kali dan menjaringkan dua gol daripadanya, satu lagi peluang diselamatkan Manuel Neuer.”

Keputusan Ancelotti untuk memulakan permainan dengan Arjen Robben dan Franck Ribery di bangku simpanan memakan diri ketika Thomas Mueller mengalami permainan buruk pada penampilan ke-400 buat kelab itu.

“Kami tidak bertindak bagus selepas ketinggalan 0-1,” kata Neuer. “Kami memang mengawal Hoffenheim tapi kami tidak mendahului mereka, itu masalahnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 9:48 AM