Kemalangan dua lori yang menyebabkan laluan lebuh raya terhalang. - Foto Ihsan Pembaca
Kemalangan dua lori yang menyebabkan laluan lebuh raya terhalang. - Foto Ihsan Pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


Tapah: Kedua-dua laluan di Kilometer 331.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat kawasan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Tapah, terhalang akibat kemalangan membabitkan dua lori, hari ini.

Difahamkan, kemalangan pada 7.20 pagi itu menyebabkan muatan, termasuk barangan elektrik dibawa lori jatuh ke atas lebuh raya namun tiada mangsa mengalami cedera parah.

Jurucakap PLUS ketika dihubungi berkata, sehingga jam 9.30 pagi tadi, kerja-kerja pengalihan masih dijalankan.

Menurutnya, kemalangan menyebabkan kesesakan hampir dua kilometer sebelum kenderaan dilencongkan melalui jalan masuk ke RnR berkenaan dan keluar semula ke laluan utama lebuh raya.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu kemalangan tidak mengakibatkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 10:46 AM