LORI terbabit. FOTO Ihsan BombaBomba
LORI terbabit. FOTO Ihsan BombaBomba
Rosman Shamsudin


Tapah: Sebuah lori tangki minyak yang membawa muatan diesel dan petrol dipercayai terbabas lalu terbalik di bahu jalan dekat Kilometer 320.4 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini, hari ini.

Ketika kejadian, lori tangki terbabit dipercayai membawa kira-kira 11 ribu liter minyak diesel dan 14 ribu liter minyak petrol.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kemalangan pada 6.38 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan terbabit.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kita dapati sebuah lori tangki minyak terbalik dan menyebabkan tangki minyak yang membawa muatan minyak diesel dan petrol mengalami kebocoran.

"Ketika ini, pihak bomba sedang melakukan proses penyejukan sebelum melakukan kerja-kerja pembersihan akibat tumpahan minyak terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 8:43 AM