Bertuah sungguh Izreen Azminda, bukan saja rezekinya sebagai pelakon tidak putus-putus, bahkan perkembangan terbaru dia terpilih sebagai wajah baru program Mahligai Cinta.

Sebelum ini, Mahligai Cinta dihoskan pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie. Buat kali pertama dia muncul dalam acara itu Khamis lalu, jam 11 pagi.

Berikutan pemilihannya, Sha terdengar suara sumbang mempertikaikan kewibawaannya mengendalikan program itu.

Sudah terang lagi bersuluh, program itu memaparkan penyatuan dua insan yang menyimpul janji sebagai pasangan suami isteri dan mengapa pula dia yang berstatus janda jadi pilihan?

Sha merisik sumber produksi dan difahamkan, Izreen menjadi pilihan kerana mereka yakin dengan potensinya.

Soal status tidak jadi masalah dan ia tidak perlu diperbesar-besarkan. Sebelum pemilihan dibuat, tentu mereka menimbang baik buruk keputusan itu.

Betul juga, kenapa perlu disempitkan fikiran. Sudah tertulis rezeki Izreen dan sewajarnya dia diberi peluang. Kalau tidak cuba, mana tahu sejauh mana kemampuannya.

Ramai juga pelakon serta penyanyi diberi peluang muncul sebagai hos dan ada antara mereka mampu pergi jauh.

Sha terlepas menonton episod pertama musim baru Mahligai Cinta, Khamis lalu, dan tidak akan melepaskan peluang menyaksikannya minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:00 AM