BIARPUN kerjaya doktor sedang menunggu, Sha teruja dengan Haruman Cinta Widad.
BIARPUN kerjaya doktor sedang menunggu, Sha teruja dengan Haruman Cinta Widad.
Norhayati Nordin


Biarpun ada karier menjamin masa depan, bakat baru, Sha Altaher, 24, memilih nyanyian yang diminati sejak kecil.

Berkhidmat sebagai doktor pelatih psikiatri di sebuah hospital kerajaan, Sha atau Sharifah Khadijah Syed Mustafa ingin mencapai impiannya menjadi penyanyi.

Katanya, menyanyi menjadi minatnya sejak kecil dan baru kini dapat direalisasikan.

Tanpa berselindung, Sha berkata baru sekarang ada keyakinan untuk mencuba selepas sekian lama memendam impian.

Dikenali sebagai Dr Sha, gadis manis ini mudah mesra dan berfikiran matang sangat teruja menantikan kemunculan single pertamanya, Haruman Cinta Widad.

“Saya memang berharap lagu Haruman Cinta Widad hasil ciptaan komposer baru, Nazif dan lirik oleh Kimie diterima baik peminat muzik tempatan.

“Apa yang pasti, saya merakamkan lagu ini kerana terpaut dengan melodi dan liriknya yang sesuai dengan vokal,” katanya.

Sha yang memiliki pakej lengkap untuk membina karier dalam industri seni dan turut aktif sebagai model peragaan berkata, single ini sangat istimewa baginya.

“Kali pertama mendengar melodinya, terus menusuk ke jiwa dan apabila dirakamkan, tambah menikam kalbu. Saya amat sukakannya.

“Lagu genre pop balada ini baru siap dirakam dan bakal dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Sebagai penyanyi baru, Sha berkata, vokal dimilikinya masih belum cukup bagus dan bercadang untuk mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan penyanyi Syafinaz Selamat.

Sha juga bersedia mengahadapi persaingan kerana percaya setiap penyanyi ada kelebihan masing-masing.

“Saya yakin dengan bakat dimiliki dan atas sebab itu saya memberanikan diri untuk mencuba. Semoga kerjasama baik dapat dijalinkan terutama daripada stesen radio untuk memberi ruang dan peluang kepada lagu baru seperti Haruman Cinta Widad.

“Saya sedar bukan mudah bagi lagu baru menjadi pilihan pendengar tetapi soal rezeki siapa yang tahu,” katanya.

Biarpun mengakui kini tumpuan pada nyanyian, Sha sentiasa bersikap terbuka untuk mencuba bidang seni lain seperti lakonan.

Bagaimanapun, dia enggan tergesa-gesa untuk mencuba sebagai pelakon.

Katanya, dia sudah berfikir dengan masak sebelum membuat keputusan menjadi penyanyi.

“Saya sudah memikirkan banyak perkara apabila memilih untuk serius membabitkan diri sebagai penyanyi.

“Saya juga tahu apabila memilih seni sebagai karier, semestinya masa saya agak sibuk dan urusan peribadi menjadi perhatian.

“Dalam soal ini, saya akan cuba bersikap terbuka dan mungkin berkongsi mana yang perlu saja. Biarlah tidak keterlaluan.

“Mana yang tidak perlu dikongsikan mengenai perihal peribadi itu, akan saya nilai. Apa pun, saya cuba hadapi dengan tenang,” katanya.

Turut menyimpan impian berjaya dalam bidang perniagaan, Sha akui seorang yang giat berusaha memajukan diri. Atas sokongan padu keluarga, dia sentiasa positif untuk menghadapi sebarang cabaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 5:03 AM