Che Ta dan Zain
Che Ta dan Zain

Bertuah sungguh jadi bintang popular, disanjung dan disayangi ramai. Bukan itu saja, golongan ini menjadi perhatian serta rebutan pelbagai pihak termasuk syarikat dan jenama ter­kenal untuk dilantik sebagai jurucakap dan sebagainya.

Tidak terkecuali pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta. Sudahlah dihujani tawaran berlakon dan laris sebagai duta. Terbaru, dengarnya dia yang bakal melahirkan cahayamata bila-bila masa saja ditaja sepenuhnya Hospital Ampang Puteri.

Perkara itu dikongsi Che Ta dalam majlis pelancaran Pureen Chak Chak Che Ta dan Zain baru-baru ini, namun ketika itu masih dalam pertimbangannya.

Bagaimanapun, Khamis lalu Sha dimaklumkan pengurusan Che Ta, pelakon jelita itu bersetuju proses kelahiran anaknya ditaja sepenuhnya hospital berkenaan.

Pakej itu termasuk urusan di bilik bersalin, diberikan bilik penginapan serta rawatan serta layanan kelas A secara percuma. Kata persetujuan itu dicapai sehari sebelum hari raya Aidiladha.

Murah sungguh rezeki Che Ta dan bayi yang bakal dilahirkan. Dengarnya, Che Ta sudah pun melakukan pemeriksaan di Ampang Puteri, Jumaat lalu dan sangat berpuas hati dengan layanan diberikan kakitangan hospital itu.

Kata pengurusan Che Ta, komitmen hospital itu memang boombastik. Ia secara tidak langsung menambah keyakinan Che Ta untuk bersalin di situ dan berasa sangat dihargai.

Teringat pula Sha dengan pengakuan jujur Che Ta. Katanya, semakin hampir tarikh bersalin semakin berdebar hatinya. Maklumlah kali terakhir bersalin 16 tahun lalu, banyak perkara dia sudah lupa.

Walaupun terselit perasaan takut dan bimbang, Che Ta dan Zain teruja mahu menatap wajah puteri mereka. Kegembiraan berganda buat Zain kerana itu zuriat pertamanya, malah dua anak teruna Che Ta juga tidak sabar mahu melihat adik yang bakal lahir.

Masing-masing berebut mahu beri nama adik mereka, namun Che Ta memberi laluan kepada Zain dalam soal itu.

Sha pun tak sabar melihat anak Che Ta nanti, pasti mewarisi kecantikan orang tuanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 9:08 AM