SHA Dila Halid memaklumkan suaminya, Alif berada dalam keadaan baik. FOTO Arkib NSTP
SHA Dila Halid memaklumkan suaminya, Alif berada dalam keadaan baik. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Isteri kepada penyanyi Alif Satar, Sha Dila Halid memaklumkan suaminya berada dalam keadaan baik dan enggan terlalu memikirkan apa yang dilaluinya ketika ini.

Sha berkata, Alif yang kini menjalani kuarantin di sebuah pusat perubatan di Melaka mengisi masa terluang dengan melakukan aktiviti berfaedah. 

"Saya tahu emosi dan fikiran Alif terganggu, namun dia tak mahu larut dengan perasaan dan kegelisahan hati. Alif cuba alih perasaan tidak tenteram dengan bersenam, membaca al-Quran dan pelbagai aktiviti lain. Dalam masa sama, Alif juga bimbangkan keadaan saya dan anak-anak.

"Jika ikutkan, Alif nak minta dipindahkan ke pusat perubatan di Sungai Buloh, tetapi doktor tidak membenarkan. Saya tak putus berdoa supaya suami terus kuat dan sembuh secepat mungkin," katanya.

Menurut Sha, sebagai kontak rapat, dia dan tiga cahaya mata, Alisha Anugerah, 4, Ariana Mecca, 2, dan Muhammad Ali, 1, sudah melakukan ujian saringan di kediamannya, jam 9.30 pagi, hari ini.

"Saya minta jauh dari dijangkiti Covid-19, selama ini. Satu pengalaman yang saya percaya semua orang enggan melaluinya, tetapi akhirnya datang juga. Saya hanya reda dan pasrah. Jauh di lubuk hati, saya mengharapkan keputusan yang diperoleh menyebelahi saya dan anak-anak.

"Saya menitiskan air mata melihat tiga cahaya mata perlu melalui ujian swab. Anak sulung agak okay dan hanya terkejut apabila melakukan ujian calitan pada bahagian hidung dan mulut.

"Anak kedua mulanya agak takut, tetapi berjaya ditenteramkan. Anak bongsu pula hanya menangis sekejap, kemudiannya kembali tenang," katanya.

Katanya, dia memohon orang luar untuk mendoakan keluarga dan kontak rapat lain akan mencapai keputusan negatif. 

"Andai kata mendapat keputusan negatif, saya dan anak-anak akan melakukan ujian swab kali kedua untuk memastikan kami benar-benar selamat dan negatif," katanya.

Sha berkata, selepas membuat persembahan pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35 Jumaat lalu, keesokan harinya Alif terus ke Melaka untuk menghabiskan baki penggambaran drama Penjara Janji terbitan JS Pictures selepas solat Subuh. 

"Suami mengetahui kontak rapat yang ditemui pada Selasa lalu positif Covid-19 pada tengah hari. Dia tidak berlengah dan terus ke sebuah pusat perubatan di Melaka untuk menjalani ujian saringan dan mendapat keputusan positif semalam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 7:46 PM